Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Sebanyak 48 pain darah berjaya dikumpulkan pada Kempen Derma Darah anjuran Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang berlangsung di Ibu Pejabat MPABD, Jalan Pelabuhan, Muara, baru-baru ini.
Lebih 60 orang terdiri daripada kakitangan MPABD dan orang ramai telah bersama-sama datang menderma darah. Hadir pada kempen berkenaan ialah Ketua Eksekutif MPABD, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman dan kakitangan MPABD.

Kempen itu merupakan kempen tahunan MPABD dalam membantu menambah bekalan darah bagi tabung darah negara di Hospital RIPAS dan sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MPABD iaitu MPABD Prihatin.


Kempen itu juga bermatlamat untuk memperkukuh bekalan darah negara dan memupuk budaya penglibatan masyarakat dalam kalangan pekerjanya dan masyarakat yang lebih luas dengan memotivasikan mereka untuk sentiasa menyokong tabung darah, kerana mengetahui bahawa setiap derma boleh menyelamatkan nyawa. MPABD juga turut berhasrat untuk terus mengadakan kempen derma darah pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat berterusannya.

