Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen derma darah pada waktu malam pada 28 dan 30 April ini bermula 8 malam hingga 10 malam di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Kempen derma darah pada waktu malam tersebut dibukakan kepada para penderma yang beragama Islam khususnya. Bagi penderma yang bukan beragama Islam pula digalakkan untuk menderma pada waktu pagi.
Namun jika tidak berkesempatan, mereka juga dialu-alukan untuk menderma pada waktu malam. Pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa di tahap yang optimum dan mencukupi bagi menampung keperluan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.
Bagi sesiapa yang ingin menderma darah pada waktu malam, perlu membuat perjanjian awal melalui laman sesawang https://calendly.com/bdcripas.