Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen derma darah sempena ulang tahun BGC

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Dalam usaha untuk memberi bantuan dan sebagai khidmat bakti kepada masyarakat, kira-kira 60 orang telah menderma darah dalam kempen menderma darah bersempena Hari Ulang Tahun Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) ke-20 yang berlangsung di McDonald’s Pandu Lalu, Jerudong, kelmarin.

    Kempen menderma darah yang membawa tema ‘Be a Hero: Donate Blood’ itu dianjurkan oleh BGC dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha serta disokong oleh McDonalds’ Brunei dan Syarikat Rajamas Bersama.

    Hadir semasa kempen berkenaan ialah Pengarah Urusan Brunei Shell Tankers Sdn Bhd (BST) dan BGC, John Douglas Cook, Pengurus Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat BGC, Dayang Mizan Adiliah binti Haji Mohamad Deli, kakitangan dan keluarga BGC serta para penderma darah dari kawasan sekitar.

    Dayang Mizan Adiliah berkata bahawa kempen menderma darah itu merupakan kali ke-6 dianjurkan oleh BGC tetapi buat kali pertama, ia diadakan di luar dari pejabat mereka dan mengalu-alukan orang ramai untuk turut serta dalam kegiatan berkebajikan itu terutama mereka yang tinggal di sekitar kawasan Kampung Jerudong.

    John Douglas Cook, Dayang Mizan Adiliah serta wakil daripada McDonald’s dan Syarikat Rajamas Bersama bergambar ramai di kempen berkenaan.

    Kempen itu, ulasnya lagi, merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial syarikat untuk menanamkan semangat kepekaan, kasih dan bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Beliau turut menyatakan bahawa kempen itu meneruskan lagi usaha serta bantuan pihak syarikat kepada Pusat Pendermaan Darah untuk menambahkan stok darah di pusat berkenaan menerusi kempen menderma darah tahunan syarikat itu.

    Kempen yang bermula dari jam 10 pagi hingga 4 petang itu, mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di mana lebih daripada 100 orang yang hadir untuk menderma.

    Bagi menghargai sumbangan para penderma di kempen itu, BGC turut memberikan baucar makanan McDonald’s secara percuma kepada mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda