Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Sikap prihatin dan pemedulian orang ramai kepada golongan yang memerlukan terus ditonjolkan dalam Kempen Derma Darah Kelab Rotary Bandar Seri Begawan (RCBSB) 2023/2024 anjuran bersama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Pusat Membeli-belah OneCity yang berlangsung di Atrium, Pusat Membeli-belah OneCity, kelmarin.
Kempen yang diterajui oleh Presiden RCBSB, Daniel Thien berjaya mengumpul sebanyak 65 pain darah. Menurut RCBSB sebagai sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan, mereka terus komited dalam meningkatkan kesihatan orang ramai.
Dalam hubungan itu, inisiatif berkenaan bermatlamat untuk mengumpulkan masyarakat setempat dan meningkatkan kesedaran mereka mengenai keperluan bagi lebih banyak usaha menderma darah untuk menyokong pihak hospital, perkhidmatan kecemasan serta individu yang memerlukan.
Oleh itu, dengan cabaran yang dihadapi daripada bekalan stok darah yang rendah, RCBSB mengenal pasti pentingnya untuk menyatupadukan masyarakat bagi menyelamatkan nyawa di mana setiap aktiviti menderma darah berpotensi untuk menyelamatkan nyawa serta memberikan harapan kepada mereka yang berhadapan kecemasan perubatan.