Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen derma darah terus giat dilaksanakan

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 18 NOV –Sebagai sebahagian inisiatif Unit Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSSE), Syarikat Methanol Brunei Sdn Bhd (BMC) dengan kerjasama Jabatan Makmal Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, telah mengadakan kempen derma darah di Kelab Rekreasi Liang Lumut ( LLRC) hari ini.

    Pada kempen itu, seramai 55 daripada 79 orang telah berjaya mendermakan darah mereka.

    Hadir merasmikan kempen itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed, yang disambut oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Abdul Mu’izz bin Dato Paduka Haji Alikhan.

    Dalam ucapannya, Awang Abdul Mu’izz menekankan kepen-tingan menderma darah yang boleh membantu meningkatkan kualiti hidup dan perubahan dalam kehidupan orang lain.

    Beliau turut menggalakkan para penderma, yang tidak pernah menderma darah untuk menyumbang bagi menyokong Kementerian Kesihatan.

    Bagi memperingati majlis tersebut, Awang Abdul Mu’izz turut menyampaikan tanda penghargaan kepada Pemangku Pegawai Daerah Belait.

    Pada acara itu, para penderma turut dihidangkan dengan pelbagai bekalan minuman dan berpeluang untuk bergambar, merakam dan berkongsi kegembiraan di stesen foto percuma, dengan harapan membolehkan mereka terus menyokong dan berkongsi tujuan selanjutnya.

    Dalam pada itu, kempen berkenaan juga menawarkan ceramah kesedaran kesihatan mental dan promosi gerai kesihatan yang diketuai oleh Klinik Dr Amir untuk mendidik orang ramai tentang cara meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan seseorang.

    Antara penderma yang hadir semasa kempen berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda