Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Para pelajar, kakitangan dan pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD) tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menabur bakti dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan semasa kempen menderma darah yang berlangsung di Ruang Legar, Bangunan Tambahan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD, hari ini.
Kempen yang dianjurkan oleh PAPRSB IHS, UBD dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan itu telah mendapat sambutan positif daripada penderma darah terdiri daripada pelajar, kakitangan dan pensyarah UBD.
Kempen yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 4 petang itu dihasratkan untuk menggalakkan budaya menderma darah dalam kalangan para pelajar serta untuk membantu usaha Pusat Pendermaan Darah mendapatkan bekalan darah bagi membantu mereka yang memerlukan.
Pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa pada tahap yang optimum dan mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.
