Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen didik budaya menabung

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah merangka pelbagai aktiviti sempena Hari Menabung Kebangsaan tahun ini bagi meningkatkan tahap celik kewangan dengan menggalakkan budaya menabung dan sikap pengurusan kewangan yang berhemah dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.

    Penolong Pengarah Eksekutif, Unit Perhubungan Korporat, AMBD, Hajah Nurhuaida Fakhriah binti Haji Damit berkata, Hari Menabung Kebangsaan tahun ini yang bertemakan ‘Generasi Celik Kewangan’ adalah sebahagian daripada inisiatif AMBD untuk membangunkan generasi yang celik kewangan dan pandai berdikari dari segi kewangan.

    Katanya, bagi 2017, AMBD bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Radio Televisyen Brunei, Tabung Amanah Pekerja serta agensi dan institusi yang berkenaan untuk menganjurkan pelbagai kegiatan bersempena dengan Hari Menabung Kebangsaan 2017.

    Beliau berkata demikian pada sidang media yang berlangsung di Galeri Mata Wang, Kementerian Kewangan, hari ini. Turut hadir Pemangku Penolong Pengarah Eksekutif, Unit Isu Pengguna Kewangan, Dayang Rina Hayane binti Sumardi.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah berkenan mengisytiharkan 28 Mei sebagai Hari Menabung Kebangsaan.

    Berdasarkan Kaji Selidik Kadar Literasi Kewangan Kebangsaan yang dijalankan di Brunei, mendapati seperti kebanyakan negara-negara lain, hampir setengah tidak mencapai skor yang mencukupi dalam bidang pengetahuan kewangan.

    Hajah Nurhuaida Fakhriah (kanan) dan Dayang Rina Hayane (kiri) ketika memberikan penerangan mengenai Hari Menabung Kebangsaan 2017.
    Hajah Nurhuaida Fakhriah (kanan) dan Dayang Rina Hayane (kiri) ketika memberikan penerangan mengenai Hari Menabung Kebangsaan 2017.

    Responden-responden berkenaan, terutamanya, kekurangan kemahiran numerasi yang diperlukan untuk membuat kiraan peraturan yang mudah dan pemahaman mengenai mekanisme faedah kompaun.

    Kurang daripada setengah dapat mengira faedah mudah dan kurang daripada satu perempat responden mempunyai pemahaman betul faedah kompaun.

    Projek kaji selidik itu dilaksanakan oleh AMBD dengan kerjasama Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS) bermula Mac 2015 hingga September 2016 ke atas seramai 1,867 orang responden dewasa daripada 1,521 buah ke-luarga berbeza, bertujuan untuk mengukur tahap celik kewangan di Brunei serta memberikan cadangan polisi dan strategi nasional bagi menaikkan tahap celik kewangan.

    Ketika menjelaskan mengenai aktiviti sempena Hari Menabung Kebangsaan tahun ini, Dayang Rina Hayane berkata, AMBD akan menganjurkan jerayawara ke sekolah-sekolah di keempat-empat daerah dengan kumpulan fokus pada 2017 ialah pelajar-pelajar Tahun 7 hingga Tahun 9.

    “Semasa jerayawara ini pelbagai aktiviti dan permainan interaktif berunsurkan pengurusan kewangan dan mata wang akan diadakan.”

    Selain itu, AMBD juga menganjurkan Pertandingan Radio dan Promo Video berkonsepkan, Be Financially Smart yang dibukakan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah Tahun 10 dan Tahun 11, manakala bagi Promo Video, ia dibukakan kepada orang ramai.

    “Pertandingan-pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kewangan dan seterusnya, peserta akan dapat menunjukkan kefahaman masing-masing secara kreatif.”

    Beliau berkata lagi, bahawa seperti 2016, AMBD juga akan mengadakan Pesta Ria Kewangan (Financial Fun Fair) pada 30 April nanti di Colonnade, Taman Permainan Jerudong yang akan menampilkan pelbagai permainan dan kegiatan menarik berunsurkan pengurusan kewangan dan mata wang akan diadakan sesuai bagi semua peringkat umur.

    Sementara itu, bagi orang ramai yang berminat untuk mengetahui lanjut mengenai produk simpanan atau produk yang berunsurkan simpanan yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan di negara ini, mereka dialu-alukan untuk datang ke Pameran Kewangan (Financial Showcase) yang akan diadakan pada 20 Mei nanti di Ruang Legar Airport Mall, Berakas.

    Pameran itu merupakan peluang yang baik bagi orang ramai untuk membuat perbandingan dan berinteraksi secara langsung dengan wakil-wakil dari institusi kewangan dan pemenang-pemenang bagi Pertandingan Promo Video dan Radio juga akan diumumkan semasa pameran berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda