Oleh Sim YH
Dengan isu perubahan iklim semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengurangkan kesannya.
Salah satunya adalah menerusi pemuliharaan alam sekitar khususnya liputan hutan hijau dan penanaman pokok-pokok sebagai langkah awal untuk menangani isu pelepasan gas rumah hijau dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peranan masing-masing.
Ke arah itu, BIBD menekankan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menangani isu tersebut.
Pada Mei 2022, BIBD telah bekerja sama dengan Majlis Kebangsaan Brunei bagi Perubahan Iklim (BNCCC) bagi menubuhkan, mempromosikan dan menjalin kerjasama di antara BIBD dan agensi-agensi utama Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) bagi membangunkan penyelesaian perubahan iklim ke arah menjana laluan kedayatahanan iklim dan rendah karbon untuk sebuah negara mapan.
Salah satu hasil daripada kerjasama itu ialah Kempen Donate A Tree, yang merupakan kolaborasi di antara BIBD dengan Community for Brunei dan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS).

Kempen Negara Mampan SME360 itu merupakan satu inisiatif yang menyaksikan BIBD bekerjasama dengan BCCS, Progresif, Sphiere dan pelbagai NGO dengan matlamat untuk menanam 2,000 pokok di pelbagai lokasi di seluruh Brunei.
Ketua Pegawai Pemasaran BIBD dan Pengerusi Kumpulan Transformasi Kemapanan, Hajah Nurul Akmar bin Haji Mohd Jaafar dalam temu bual bersama Media Permata mengenai Kempen Donate A Tree baru-baru ini, menjelaskan kempen itu dibukakan kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada usaha berterusan BIBD untuk menyokong BCCS dan BNCCP khususnya Strategi Menanam Pokok Protokol Hijau.
Kempen Donate A Tree
Kempen Donate A Tree amat dekat di hati BIBD di mana ia memupuk kesedaran terhadap perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar.
Menerusinya, BIBD telah berikrar untuk menanam sebanyak 2,000 pokok setahun dan mengalu-alukan orang ramai untuk turut serta dalam usaha itu, jelas Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman ketika mengulas mengenainya.
Oleh itu, BIBD menyediakan platform bagi mereka yang berminat bukan sahaja menyumbang malahan mengambil bahagian dalam aktiviti menanam pokok yang akan diadakan. Hajah Nurul Akmar ketika mengulas lanjut, menerangkan kempen itu akan berjalan selama tiga bulan dan orang ramai berpeluang menyumbang pokok untuk ditanam melalui platform yang disediakan oleh BIBD, Progresif Pay, Community for Brunei serta aplikasi mudah alih, Atmosphiere.
Sumbangan akan digabungkan dengan komitmen BIBD untuk menanam pokok di pelbagai lokasi sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengatasi kesan buruk perubahan iklim kepada ekosistem global. Beliau menerangkan sekitar dalam masa tiga bulan akan datang, mereka akan menjemput orang ramai untuk sama-sama menyertai kempen itu. Tarikh kempen itu akan diumumkan kelak.
Pada masa yang sama, ia juga memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengira sendiri pelepasan karbon harian dan berapa pohon pokok yang mungkin diperlukan untuk meneutralkan pelepasan masingmasing. Sumbangan melibatkan kerjakerja penyelenggaraan pokok-pokok berkenaan untuk memastikan bahawa ia akan tumbuh dengan baik dan teratur menepati matlamat yang dihasratkan.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Perbankan Korporat (CBG), Koh Swam Sing; Ketua Structured Finance (CBG), Awang Abdul Azim bin Haji Mohammad dan Ketua Pengurusan Perhubungan Korporat (CBG) Andy Lim, menekankan komitmen $2 bilion BIBD dalam pembiayaan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). Mereka menjelaskan bahawa SME360 sedang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selaras dengan SDGs di mana daripada perbankan korporat mereka berusaha untuk menghubungkan dan menjana kesedaran di kalangan orang ramai dan syarikat-syarikat di Brunei.
Mereka turut mengetengahkan pentingnya alam sekitar dan membantu planet secara keseluruhan.
“Kita harus bekerjasama untuk memastikan kita mempunyai kesedaran sepenuhnya,” tambah mereka.
Mereka turut menggariskan peranan utama yang dimainkan oleh PKS dalam ekonomi.
Semua tumbuh dari kecil lagi, oleh itu dari peringkat kecil inilah, intervensi, mendidik dan menjana kesedaran dibuat supaya dapat membina momentum bagi generasi akan datang.
Kolaborasi pelbagai pihak menjayakan kempen Donate A Tree
Ketua Sekretariat Perubahan Iklim Brunei Darussalam, Kementerian Pembangunan, Awang Ahmad Zaiemaddien bin Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi mengongsi pandangannya mengenai kempen itu dan berkata, “la sebuah inisiatif yang amat baik. la merupakan kerjasama di antara kami daripada BCCS dengan BIBD, yang merupakan rakan kongsi yang amat baik, terutamanya sejak kami memeterai MoU.”
Mengambil maklum bahawa Donate A Tree akan menjadi acara tahunan, beliau berkata, “la akan menjadi cara yang baik untuk melibatkan orang ramai ke arah menangani kesan perubahan iklim. Daripada perspektif kami di BCCS, penanaman semula hutan dan liputan hutan di bawah Strategi 2 BNCCP kami, oleh itu, ia benar-benar menepati naratif dan visi kami untuk membantu Brunei menjadi sebuah negara rendah karbon dan berdaya tahan iklim.
Harapan BCCS bagi kempen itu, jelasnya adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai, “Sudah wujudnya gelombang, khususnya dalam kalangan belia.
“Kedua, kami mahu orang ramai untuk menjadi sebahagian daripadanya. Kami ingin mereka merasakan bahawa mereka memilikinya,” tannbahnya lagi.
“la peluang yang amat baik apabila dapat menyaksikan orang ramai mengatakan bahawa mereka memainkan peranan membantu Brunei dalam mencapai cita-cita kami.”
Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar ketika mengulas mengenai penglibatan Progresif dalam kempen itu, menyatakan bahawa pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyokong kempen tersebut.
Beliau menambah “kempen itu adalah usaha kolaboratif di antara Progresif dan BIBD untuk memastikan bahawa tanggungjawab setiap individu terhadap alam sekitar adalah dijalankan.”
“Usaha ini juga dikaitkan dengan tanggungjawab sosial korporat Progresif iaitu Environment dan kami sangat berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif ini.”
Sementara itu, Pengasas Bersama Community For Brunei, Shinny Chia menyatakan kempen itu merupakan salah satu usaha untuk memupuk kesedaran masyarakat dan salah satu aktiviti yang dapat menyumbang kepada matlamat mencapai sinki karbon serta teruja menyertai kerjasama itu. Perkara sama dikongsi oleh Pengurus Projek Sphiere Sdn Bhd, Awang Wan Mohammad Farid bin Haji Zaini yang menyatakan bahawa pihaknya amat gembira berpeluang bekerjasama dengan BIBD dan rakan-rakan kongsi projek yang lain bagi menyediakan platform menerusi aplikasi mudah alih, Atmosphiere, untuk membolehkan orang ramai mengira pelepasan karbon mereka.
Meningkatkan kesedaran memulihara alam sekitar bersama
Menurut Hajah Noraini, Kempen Donate A Tree signifikan dalam menyebarkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Walaupun ia masih di peringkat awal, ia merupakan kaedah yang baik untuk warga Brunei menyumbang melalui Kempen Donate A Tree dan beberapa lagi kaedah lain seperti mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula.
“Kami berharap ia akan menjadi satu kitaran penuh di mana tidak akan berlaku pembaziran sekali gus menekankan lagi sokongan kami bagi kennapanan,” ujarnya.
Ringkasan
Pemuliharaan alam sekitar tanggungjawab bersama
– Salah satu usaha itu adalah melalui penanaman pokok yang merupakan langkah awal menangani isu pelepasan gas rumah hijau
– BIBD komited bekerjasama dengan pihak kerajaan, swasta dan NGO untuk sama-sama menangani isu perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar.
Kempen Donate A Tree
– Kempen kerjasama bermatlamat menanam sebanyak 2,000 pokok di serata Brunei.
– Kempen yang dijangka dilancarkan dalam masa tiga bulan lagi itu mengalu-alukan orang ramai untuk menyumbang dan turut serta dalam kegiatan menanam pokok.
Kolaborasi pelbagai pihak
– Bagi menjayakan kempen itu, kolaborasi pelbagai pihak daripada sektor kerajaan, swasta dan NGO amat penting untuk mencapai satu matlamat.
– Kempen Donate A Tree memainkan peranan signifikan dalam menyebarkan kesedaran untuk menjaga alam sekitar.
– Menggalakkan penyertaan berterusan semua pihak