Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen dorong kobarkan semangat tunaikan solat Subuh

    GAZA – Baru melangkah beberapa hari ke tahun baru, penduduk di bandar ini kelihatan semakin bersemangat mempertingkatkan nilai dan ajaran agama Islam terutama dalam menunaikan ibadah solat yang menjadi kewajipan kepada umat Islam.

    Kempen Grand Fajr merupakan usaha aktivis agama Islam untuk memperkuatkan agama suci ini dalam kalangan penduduknya.

    Menunaikan solat lima waktu memang telah menjadi satu rutin kewajipan untuk dilaksanakan setiap hari dalam kalangan umat Islam dan usaha yang telah dilaksanakan ini adalah demi mendorong penduduk di bandar itu agar semakin bersemangat menunaikan ibadah tersebut secara berjemaah di masjid.

    Kempen tersebut telah dimulakan di kawasan kejiranan di bandar Gaza dan ia juga turut diperluaskan ke kawasan-kawasan yang berdekatan.

    Pihak penganjur yang kebanyakannya terdiri daripada ahli jawatankuasa yang sentiasa diawasi oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa kempen ini dihasratkan menggalakkan penduduk di bandar ini bersemangat untuk menunaikan ibadah solat secara berjemaah di masjid terutama pada waktu Solat Fardu Subuh.

    Jumlah penduduk Tal al-Hawa yang menunaikan Solat Fardu Subuh berjemaah di masjid dikatakan terus meningkat. – AP
    Seruan azan tetap dilaungkan di masjid-masjid di sekitar bandar Gaza bagi mengingatkan penduduk setempat untuk menunaikan Solat Fardu Subuh.

    Ahmad Hammad, salah seorang sukarelawan di kawasan kejiranan Tel al-Hawa di Gaza menjelaskan bahawa usaha yang dijalankan melalui kempen ini ternyata memperlihatkan kemajuan terutama apabila jumlah barisan saf sewaktu sembahyang berjemaah di masjid dikatakan semakin meningkat.

    “Dahulunya, sembahyang berjemaah hanya dipenuhi oleh satu atau separuh saf sahaja namun melalui kempen yang dilaksanakan ini secara tidak langsung telah berjaya mendorong penduduk di bandar ini untuk menunaikan ibadah solat secara berjemaah sehingga ada kalanya mencapai tiga barisan saf yang penuh,” jelas Ahmad.

    “Solat Fardu Subuh memang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam malah melalui perlaksanaan ibadah ini secara tidak langsung turut mendidik moral serta meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk yang ada kalanya turut berhadapan dengan masalah pencerobohan dan kekangan dari negara asing,” jelas Abu Aziz al-Waheidi yang mengawasi kempen itu di 22 buah masjid di Tal al-Hawa.

    Pemimpin Tertinggi Hamas yang merupakan Gerakan Pembela Islam, Ismail Haniyeh juga turut mendukung usaha yang dilaksanakan melalui kempen ini dengan mengedarkan gambar-gambar yang memperlihatkan dirinya dan ahli Hamas lain yang tetap bersemangat untuk menunaikan ibadah solat sewaktu berada di kem pelarian Shati yang pernah menjadi tempat tinggalnya

    Gambar-gambar tersebut disebarkan demi memberikan semangat dan membuktikan kepada penduduk di bandar itu bahawa kesulitan dalam menjalani kehidupan bukan menjadi alasan untuk meninggalkan kewajipan umat Islam.

    Kempen ini telah dimulakan sejak bulan lalu, sejurus selepas Presiden AS, Donald Trump membuat keputusan untuk memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis.

    Gerakan tersebut secara tidak langsung telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan warga Palestin yang memang melindungi kawasan Baitulmaqadis Timur yang sememangnya merupakan tempat ketiga tersuci dalam agama Islam.

    Ketika menghampiri waktu untuk menunaikan Solat Subuh, penduduk di bandar tersebut akan dikejutkan dengan bunyi

    ketukan dan gendang yang dilakukan oleh pasukan peronda sukarela dalam kempen tersebut.

    Pasukan peronda sukaralewan melalui kempen Grand Fajr yang gigih membangunkan dan mengingatkan penduduk di Tal al-Hawa, Gaza untuk bersiap sedia menunaikan solat Fardu Subuh. – AP

    Aktiviti tersebut agak sinonim dengan perkara yang sering dilakukan sewaktu bulan Ramadan ketika pasukan peronda sukarela cuba membangunkan penduduk setempat dengan bunyi gendang sebagai tanda untuk mengingatkan mereka agar bersahur sebelum berpuasa di sebelah paginya.

    “Ia merupakan satu usaha yang murni bagi mengingatkan umat Islam untuk menunaikan kewajipan solat Fardu Subuh secara berjemaah di masjid,” jelas Saed al-Shurafa, 63, salah seorang jemaah masjid.

    Namun ada juga segelintir pihak yang memandang serong mengenai usaha yang dilaksanakan melalui kempen tersebut dan lebih teruk ada yang memandangnya sebagai satu gangguan.

    “Memang benar ia merupakan satu usaha murni dalam mengingatkan umat Islam terhadap kewajipan untuk menunaikan solat namun apabila bunyi gendang atau ketukan itu terlalu kuat sehingga membangunkan anak-anak damit yang nyenyak tidur secara tidak langsung boleh dianggap sebagai satu gangguan,” jelas Saed Abu Hasera yang merupakan salah seorang penduduk di kampung tersebut.

    Abdel-Bari Khela yang merupakan seorang ulama Islam berpengaruh dan mufti di bandar tersebut menjelaskan bahawa usaha untuk membangunkan umat Islam bagi sama-sama menunaikan Solat Subuh secara berjemaah memang merupakan satu perkara yang murni namun ia juga boleh dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam apabila satu perkara yang dilakukan itu boleh menimbulkan gangguan.

    Mufti tersebut turut menjelaskan bahawa cara terbaik untuk membangunkan umat Islam dan menyeru mereka untuk segera bersiap bagi menunaikan solat adalah dengan melaungkan azan di masjid.

    “Menggantikan seruan suci itu dengan bunyi gendang dan ketukan kuat sehingga menganggu ketenteraman awam adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam,” jelas Abdel-Bari Khela.

    Menjelang waktu menghampiri Subuh, Hamad dan rakan-rakannya akan berpecah kepada dua kumpulan untuk melakukan rondaan sambil mengetuk gendang dan membuat pengumuman melalui mikrofon untuk mengingatkan penduduk setempat agar segera bersiap sedia untuk menunaikan Solat Fardu Subuh berjemaah di Masjid Abu Honayfa, Tal al-Hawa.

    “Hakikatnya bunyi yang dilakukan itu tidak terlalu rendah dan tidak terlalu bising sehingga menyebabkan gangguan malah ia juga dilakukan pada waktu yang sesuai iaitu dalam tempoh 15-30 minit menjelang waktu azan Subuh dilaungkan di mana ia wajar dianggap sebagai satu usaha murni bagi mengingatkan tanggungjawab sesama Islam,” jelas Hamad. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda