Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Pasukan Average Joe berjaya untuk menewaskan Pasukan Beko ‘Lose to Win’ untuk muncul juara aksi persahabatan Bola Keranjang 3 lawan 3 (3×3) sempena Kempen Eat Like a Pro (ELAP) Beko yang berlangsung di Batu Bersurat, kelmarin.
Pasukan Average Joe muncul juara dalam perlawanan berkenaan diikuti oleh pasukan ‘Lose to Win’ di tempat kedua, Pasukan M&F 2 di tempat ketiga dan Pasukan M&F 1 di tempat keempat.
Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada juara ialah Duta Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mehmet Suat Akgun. Turut hadir ialah Pengurus Besar Intracorp, Vincent Tan dan Ketua Jualan Serantau Beko, Jean-Pierre Blanchet. Terdahulu, Vincent Tan dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa aksi persahabatan itu adalah sebahagian daripada Kempen ELAP di Brunei untuk mengurangkan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak global.
Beliau berkata lagi bahawa usaha itu dapat dicapai melalui pendidikan dan memberikan pengaruh yang positif kepada pemakanan kanak-kanak.
Sejak dilancarkan tiga tahun dahulu, Kempen ELAP telah menggunakan atlet sukan popular termasuk pemain bola keranjang dari Eropah seperti Fernebache yang telah berjaya untuk mempromosikan tabiat pemakanan sihat di kalangan kanak-kanak.
Sementara itu, Kempen ELAP di Brunei Januari lalu membuka tirai dengan Cabaran ‘Lose to Win’ yang disertai 10 orang peserta yang berusaha untuk merubah amalan pemakanan dengan melakukan senaman dan mengurangkan berat badan bermula dari dapur.
Majlis penyerahan jersi turut diadakan dan disempurnakan oleh Vincent Tan dan Jean-Pierre Blanchet kepada Pasukan M&F dan Pasukan Lose to Win.
Perlawanan persahabatan bola keranjang 3×3 itu menyaksikan Pasukan Kedutaan Turki, Pasukan Intracorp, Pasukan Beko, ‘Lose to Win’, Pasukan Average Joe, Pasukan M&F 1 dan Pasukan M&F 2 beraksi pada pusingan awal untuk menentukan dua pasukan yang layak beraksi pada final.

