Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen FSFS kukuhkan aspek keselamatan pelanggan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Syarikat Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad (BSM) telah melancarkan Kempen Tahunan Fill Safe, Feel Safe (FSFS) 2025 yang berlangsung di Gadong Filling Station Sendirian Berhad, hari ini.

    Pelancaran ini sebagai usaha berterusan memperkukuh komitmen terhadap aspek keselamatan dan pengalaman pelanggan di semua Stesen Shell di seluruh negara.

    Kempen tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, selaku tetamu kehormat.

    Di kempen itu, Awang Haji Mohammad Nazri  turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada BSM serta rakan-rakannya atas pendekatan proaktif dalam melaksanakan kempen berkenaan.

    “Kempen Fill Safe, Feel Safe merupakan contoh terbaik bagaimana kerjasama antara sektor awam dan swasta dapat membentuk budaya keselamatan dan saling hormat-menghormati, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035,” jelas beliau.

    Awang Haji Mohammad Nazri melancarkan kempen FSFS 2025.

    Turut hadir menyaksikan pelancaran itu, Pengarah Urusan BSM, Mohamed Alexirwan bin Haji Omar, pemilik stesen serta rakan-rakan kerjasama BSM.

    Sementara itu, Pengarah Urusan BSM, Mohamed Alexirwan bin Haji Omar dalam alu-aluan antara lain menekankan bahawa Stesen Shell menerima lebih 7 juta kunjungan pelanggan setiap tahun, sekali gus menunjukkan pentingnya mengekalkan pengalaman yang selamat dan positif bagi pelanggan serta Service Champion.

    “Keselamatan dan keselesaan kekal menjadi keutamaan kami,” ujarnya. “Kami berbangga dengan peningkatan ketara dalam prestasi keselamatan yang mencerminkan komitmen bersama ke arah penambahbaikan berterusan”.

    Statistik keselamatan di bawah kempen FSFS turut menunjukkan kemajuan jelas dengan kejadian tercabut muncung pam (nozzle pullout) menurun daripada empat kes pada tahun 2024 kepada satu kes pada tahun 2025.

    GAMBAR-GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Manakala kes tersilap mengisi bahan api (wrong filling) menurun daripada lapan kes pada tahun 2024 kepada dua kes setakat tahun ini.

    Kempen tahun ini memperkenalkan reka bentuk Selendang Keselamatan yang ditambah baik, poster-poster kesedaran keselamatan baharu serta pelekat bahan api berwarna mengikut kod, yang dibangunkan berdasarkan maklum balas daripada pelanggan dan Service Champion bagi mengurangkan kesilapan serta meningkatkan kesedaran keselamatan di Stesen Shell.

    Dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh Service Champion, kempen kali ini turut menampilkan poster khas yang menegaskan pendirian BSM terhadap dasar sifar toleransi terhadap sebarang bentuk ancaman, penghinaan atau gangguan terhadap petugas stesen.

    Poster berkenaan juga mengingatkan orang ramai bahawa keselamatan dan kebajikan Service Champion dilindungi oleh undang-undang, dan BSM tidak akan teragak-agak untuk melaporkan sebarang kejadian kepada pihak berkuasa.

    Majlis pelancaran diakhiri dengan perasmian rasmi poster Fill Safe, Feel Safe 2025, yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan BSM untuk memupuk keselamatan, saling hormat dan kesedaran di semua Stesen Shell di seluruh negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda