Kempen IBTE kumpul 23 pain darah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini, mengadakan kempen menderma darah dengan kerjasama Unit Tabung Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan IBTE Central Student Union.

Kempen yang bermula 9 pagi hingga 11 pagi itu berjaya mengumpul sebanyak 23 pain darah dengan penyertaan daripada warga IBTE.

Salah seorang tenaga pengajar di IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Awang Azlan semasa ditemui menjelaskan kempen tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dalam kalangan kakitangan dan pelajar menerusi aktiviti menderma darah bagi membantu pesakit-pesakit yang memerlukan.

Selain itu, kempen berkenaan juga merupakan usaha berterusan sebagai sebahagian daripada inisiatif mereka untuk membantu Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS menambah simpanan darah.

Katanya lagi, Unit Tabung Darah Hospital RIPAS juga mengadakan sesi taklimat mengenai manfaat menderma darah dan dengan inisiatif seperti ini akan dapat meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan warga kampus mengenai sama-sama membantu menyelamatkan nyawa kepada orang yang memerlukan darah. Beliau seterusnya menjelaskan, kempen seumpamanya akan diadakan di kampus IBTE Mekanikal pada 28 Ogos dan orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir memberi sokongan terhadap kempen berkenaan bagi membantu mereka yang memerlukan darah.

Antara pelajar IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal yang tidak melepaskan peluang memberi sokongan terhadap kempen berkenaan.