BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Dalam usaha berterusan untuk menyokong Tabung Darah Kebangsaan, imagine telah menganjurkan kempen derma darah di ibu pejabatnya di ibu negara yang menyaksikan sejumlah 37 pain darah berjaya dikumpulkan.
Para penderma darah yang juga termasuk dari syarikat-syarikat korporat yang beroperasi di ibu negara turut diberikan barang dagangan imagine, menurut kenyataan yang dikeluarkan imagine.
Kenyataan menyatakan, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat imagine untuk menggalakkan individu-individu memberi balik kepada mereka yang memerlukan terutamanya menjelang bulan Ramadan.
Antara yang menderma darah termasuk kakitangan imagine yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju. Syarikat berkenaan juga menjemput warga TOTAL, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Standard Charted Brunei dan Takaful Brunei Berhad di samping orang awam.
Dalam pada itu, menerusi perkhidmatan-perkhidmatannya, imagine juga membuka saluran derma lain untuk membantu mereka yang memerlukan, termasuk ciri amal dikenali sebagai A-Dollar-A-Cheer (ADAC) yang mengalu-alukan pelanggan menghulurkan sumbangan kepada pelbagai inisiatif dan pertubuhan amal tempatan yang ditukar setiap tiga bulan.
Di samping itu, laman sesawangnya juga menyediakan portal sumbangan yang memberikan peluang kepada bukan pelanggan imagine untuk memberi balik kepada masyarakat.
Menurut keyataan, bagi April hingga penghujung Jun, imagine telah mengenal pasti tiga pertubuhan bukan kerajaan yang akan menerima sumbangan ADAC berkenaan iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) dan Persatuan Orang Kurang Pendengaran.