Kempen Impian BIBD tawar sebuah rumah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah memperkenalkan kempen terbaharunya sempena tahun baharu 2021 yang dinamakan Kempen Impian BIBD.

Menurut Ketua Promosi dan Kempen, Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Ahmad Firdaus bin Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim, kempen berkenaan telah dilancarkan kelmarin dan akan berlangsung selama 12 bulan sehingga pertengahan Januari 2022.

Kempen berkenaan dibukakan kepada semua peringkat umur, dewasa dan kanak-kanak di bawah 18 tahun, tambah beliau lagi semasa sidang media yang berlangsung di BIBD Home Centre, Kiulap, hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, sepanjang kempen tersebut, mereka akan mengadakan cabutan bulanan, suku tahunan dan cabutan utama yang menawarkan sebuah rumah bernilai lebih $200,000 sebagai hadiah utama.

Menurutnya, setiap bulan, 10 orang pemenang orang dewasa dan 10 orang kanak-kanak akan menerima hadiah yang bernilai sehingga $250, manakala itu untuk cabutan suku tahunan pula, tiga orang pemenang dewasa dan kanak-kanak akan berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai sehingga $4,000.

Ahamad Firdaus ketika menjelaskan mengenai Kempen Impian BIBD.
Kad maklumat Kempen Impian BIBD yang dilekatkan di pusat-pusat membeli-belah.

Beliau juga berkata, kempen tahun ini sedikit berbeza, di mana orang ramai dapat menentukan hadiah pemenang untuk hadiah bulanan dan suku tahunan, jadi pada dasarnya mereka akan berinteraksi dengan orang ramai melalui media sosial yang telah dipilih oleh orang ramai sehingga BIBD akan mengumumkan hasilnya sebelum membuat cabutan secara langsung di media sosial.

Untuk menyertai kempen berkenaan, para peserta hanya perlu untuk membuka akaun BIBD baharu, atau memindah gaji bulanan ke BIBD atau peserta yang membuka akaun bersama anak mereka dalam satu akaun juga berpeluang menyertai kempen berkenaan.

Manakala itu, pelanggan BIBD yang memohon Produk Pembiayaan Peribadi, Consolidation Financing, Education Financing, Home Improvement Financing, Home Financing, BIBD Ar-Rahnu Micro Financing juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah sepanjang kempen berkenaan.

Menurut Awang Ahmad Firdaus lagi, ini merupakan kali pertama BIBD menawarkan hadiah berupa sebuah rumah dan juga memberikan peluang penyertaan untuk kanak-kanak bagi cabutan bulanan.

Selepas sidang media berkenaan, BIBD juga mengadakan kempen melekatkan kad maklumat Kempen Impian BIBD 2021 di pusat-pusat membeli-belah dan kedai di seluruh negara. Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Ketua Kejuruteraan Produk, Wan Hefnie bin Haji Hamidon dan Timbalan Ketua Promosi, Georgene Lee.