Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesihatan gusi, empat orang mahasiswa dan mahasiswi perubatan pergigian Tahun 3 dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengadakan pameran Periodontal Disease Awareness Campaign: Say Yes to Healthy Gums! semasa Bandarku Ceria di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.
Pameran tersebut dikendalikan oleh Lim Ren Yi, Awangku Mohd Izzan bin Pengiran Suhardy, Dayang Marlini binti Buang, Dayang Zetty Amal Batrisya binti Zulkefly dan disertai oleh para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Tahun 1 dan 2 PAPRSB IHS.
Menurut mereka, penyakit periodontal ialah sejenis jangkitan serius pada gusi yang boleh merosakkan tisu lembut di sekeliling gigi serta tulang yang menyokong gigi.
Kebiasaannya ia terjadi disebabkan tabiat seseorang yang membersihkan mulut dengan tidak teratur, merokok, menghidap kencing manis, perubahan hormon dan faktor keturunan.
Manakala, simptom yang boleh dikenal pasti bagi seseorang yang menghidap penyakit berkenaan antaranya gusi bengkak, gigi kelihatan longgar atau panjang, gusi kemerah-merahan atau ungu, sakit ketika mengunyah, nafas berbau berterusan dan gusi berdarah terutamanya ketika memberus gigi atau flos.
Semasa kempen itu, mereka turut menjelaskan beberapa langkah untuk mencegah penyakit berkenaan termasuk sentiasa memberus gigi sekurang-kurangnya dua minit dan amalkan menggosok gigi dua kali sehari, serta lakukan flos pada gigi setiap
hari.
Selain itu, mereka juga menekankan agar menggunakan berus gigi berbulu lembut, dengan ubat gigi berfluorida. Berus gigi hendaklah diganti setiap tiga bulan atau jika rosak.
Di samping itu, seseorang itu juga disarankan melakukan pemeriksaan doktor gigi setiap enam bulan dan elakkan merokok.


