Oleh Normazlina M.D
TUTONG – Bagi menjaga kebersihan di tempat yang sering dihadiri pengunjung, beberapa ahli Majlis Perundingan Mukim Telisai termasuklah ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Danau, Majlis Perundingan Kampung Telisai dengan kerjasama ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Bukit Beruang telah mengadakan kempen kebersihan di kawasan Gerai Mukim Telisai, baru-baru ini.
Turut hadir mengetuai kempen tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit yang juga selaku penghulu Mukim Telisai.
Tamu di Kampung Telisai wujud bagi membantu pengusaha kecil mempromosi barangan mereka di samping dapat memudahkan penduduk kampung dan sekitarnya membeli barangan makanan, buahan-buahan dan sayur-sayuran. Dengan adanya kempen kebersihan ini, ia juga menggalakkan pengunjung dan orang ramai untuk berkunjung ke tamu.
Adapun kempen tersebut diadakan adalah untuk memastikan kawasan gerai tersebut sentiasa dalam keadaan bersih dan berharap orang ramai termasuklah pengusaha-pengusaha dan pengunjung untuk sama-sama menjaga kebersihan gerai dan sekitarnya.
