Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen kebersihan kumpul 375.5 kilogram sampah sarap

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Seramai kira-kira 230 orang warga Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan serta ahli keluarga mereka bersama-sama menjayakan Kempen Kebersihan Senegara Persisiran Pantai bagi Serpihan Laut Coastal Marvel yang berlangsung di Taman Rekreasi Pantai Muara, hari ini.

    Hadir untuk melancarkan dan sama-sama menyertai kempen berkenaan ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Marina Chek binti Bujang.

    Para peserta telah dibahagikan kepada kumpulan mengikut bahagian, unit dan kluster di bawah Jabatan Sekolah-sekolah di mana setiap kumpulan telah ditugaskan untuk membersihkan kawasan pantai tertentu mengikut zon yang telah ditetapkan.

    Kempen yang menyaksikan penyertaan warga jabatan serta ahli keluarga mereka telah berjaya untuk mengumpulkan lebih dari 375.5 kilogram sampah sarap.

    Kempen Kebersihan Senegara Persisiran Pantai telah dilancarkan pada 5 Jun 2021 di mana ia merupakan usaha Kementerian Pendidikan dalam menyokong inisiatif Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan (JIIK) dalam memastikan persekitaran Negara Brunei Darussalam adalah bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran.

    Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu kebersihan di persisiran pantai yang berpunca daripada serpihan marin (marine debris).

    Kempen itu bermatlamat untuk menghasilkan data garis asas bagi serpihan laut di kawasan persisiran pantai dan mengenal pasti jenis serpihan laut atau sisa buangan yang terdapat di persisiran pantai.

    Selain itu, kempen berkenaan bertujuan untuk memperkasa masyarakat untuk menanamkan rasa tanggungjawab dalam melindungi dan memelihara alam sekitar melalui kaedah pembuangan sampah yang betul.

    Hajah Marina Chek bergambar-ramai dengan warga Jabatan Sekolah-sekolah serta ahli keluarga mereka yang menyertai kempen kebersihan berkenaan.
    Antara warga Jabatan Sekolah-sekolah dan ahli keluarga mereka yang turut serta semasa kempen kebersihan berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda