Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen kebersihan kumpul 927kg sampah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Lebih 180 sukarelawan menyertai kempen kebersihan pantai bersempena Hari Laut Sedunia 2025 di Pantai Meragang, Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

    Sebanyak 927 kilogram (kg) sisa sampah, kebanyakannya terdiri daripada sisa plastik berjaya dikumpulkan.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaide dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Michael Hoy.

    Acara tersebut merupakan sebahagian daripada Minggu Lautan Brunei (OWB) 2025, dianjurkan oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Poni Divers, sebagai usaha memperkukuh kesedaran awam terhadap pencemaran laut dan pentingnya pemuliharaan alam sekitar marin.

    Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers, Awang Mohd Tahsin Wong bin Abdullah. Para peserta turut diberikan panduan keselamatan sebelum memulakan aktiviti pembersihan yang berlangsung sepanjang pagi.

    Jumlah sampah yang dikutip adalah dua kali ganda berbanding tahun lalu, mencerminkan keperluan mendesak untuk menangani isu sisa plastik dan pencemaran di kawasan pesisir negara.

    Antara agensi dan institusi yang turut serta ialah Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (PBMP), Polis Marin, pemimpin komuniti, usahawan dari industri akuakultur dan pemprosesan serta pelajar dari Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

    Dalam ucapan penutupnya, Awang Mohd Tahsin Wong menegaskan bahawa kejayaan program ini menggambarkan komitmen rakyat untuk memelihara kesihatan laut melalui tanggungjawab bersama dan tindakan bersepadu. Beliau turut mengumumkan perancangan OWB 2026 yang bakal melibatkan inisiatif pembiayaan belia, pameran antarabangsa dan perkongsian data laut secara kolaboratif.

    Kempen itu bukan sahaja membawa impak positif kepada alam sekitar, malah menjadi simbol harapan dan bukti bahawa setiap individu mampu memainkan peranan penting dalam melindungi ekosistem laut Brunei.

    Haji Mohd Yusree bergambar bersama peserta pada kempen kebersihan di Pantai Meragang, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    TYT Michael Hoy turut mengambil bahagian dalam kempen tersebut. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    ATAS & BAWAH: Para sukarelawan yang ikut serta dalam kempen kebersihan pantai sempena Hari Laut Sedunia 2025 di Pantai Meragang, kelmarin. Usaha itu adalah untuk memperkukuh kesedaran terhadap pencemaran laut. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda