Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Untuk memupuk semangat bekerjasama antara kakitangan, belia masjid dan para sukarelawan, Syarikat Khadeeja Towards Modesty telah meneruskan lagi aktiviti kemasyarakatan, Kempen Kebersihan di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, kelmarin.
Kempen berkenaan juga antara aktiviti sebagai persiapan menjelang Bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi agar masjid berkenaan berada dalam keadaan selesa.
Dayang Saridah dari syarikat berkenaan berkata, kempen berkenaan merupakan salah satu inisiatif syarikat yang bertujuan untuk lebih bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutama dalam menitikberatkan nilai kebersihan.

Antara lain tujuan kempen berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam menjaga kebersihan dan sebagai salah satu persiapan menuju bulan suci Ramadan agar orang ramai mengimarahkan masjid dengan lebih selesa dan khusyuk. Antara kebersihan yang diutamakan pada kempen berkenaan pembersihan ruang solat dan tandas awam serta menjaga kebersihan nilai barang-barang wakaf masjid, seperti telekung, selipar dan sebagainya.
Dayang Saridah ketika ditemu bual berkata, kempen berkenaan merupakan aktiviti kedua selepas yang pertama di Balai Ibadat Kampung Mata-Mata.
Kempen kali ini disertai oleh seramai 17 orang Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, 20 orang sukarelawan dan kumpulan belia Muslimah Syababul Iman.