Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen kebersihan pantai kumpul 219.4kg sampah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Dengan mengetengahkan nilai pemeliharaan alam sekitar daripada pencemaran khususnya pencemaran plastik, bagi memperingati hari pembersihan plastik serta memeriahkan lagi acara King’s Baton Relay di Negara Brunei Darussalam, King’s Baton telah dibawa bagi kempen membersihkan pantai di Pantai Meragang, hari ini.

    Kempen yang disertai oleh peserta dan sukarelawan itu telah berjaya mengumpul sebanyak 219.4 kilogram sampah plastik berjaya dikutip terdiri daripada botol, sudu dan garpu plastik, beg tangan dan botol susu.

    Hadir untuk sama-sama menyertai kempen berkenaan, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Ken O’Flaherty, Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani serta para sukarelawan belia.

    Haji Mohd Zamri memberikan penerangan mengenai lukisan yang menghiasi King’ Baton kepada Ken O’Flaherty.
    Ken O’Flaherty, Haji Mohd Zamri serta para sukarelawan yang sama-sama hadir untuk menjayakan kempen kebersihan berkenaan.

    Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Zamri dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan penghargaan kepada semua peserta yang terlibat sama menjayakan aktiviti membersihkan pantai khususnya sampah plastik dengan matlamat untuk menanamkan nilai pemeliharaan alam sekitar di kalangan para peserta dan masyarakat.

    Beliau turut menyatakan bahawa Sukan Komanwel Glasgow 2026 akan membuka tirainya pada Julai dan Ogos 2026 dengan aktiviti King’s Baton Relay yang merupakan sebahagian daripada aktiviti keraian menuju ke temasya sukan berkenaan.

    Gambar atas & bawah, Ken O’Flaherty turut mengambil bahagain dalam kempen kebersihan pantai berkenaan.

    Majlis diteruskan dengan sesi pemanasan badan dan taklimat keselamatan ringkas mengenai kempen kebersihan berkenaan.

    King’s Baton Relay di Negara Brunei Darussalam telah menjadi satu sambutan yang memberi inspirasi kepada sukan, budaya, dan pemeliharaan alam sekitar.

    Ia mencerminkan komitmen negara terhadap nilai Komanwel dan usaha berterusannya untuk melibatkan belia, menggalakkan gaya hidup sihat serta melindungi alam sekitar.

    Gambar atas & bawah, Para sukarelawan sama-sama mengutip sampah khususnya sisa plastik semasa kempen berkenaan.
    GAMBAR-GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    King’s Baton telah dilukis dan dihiasi oleh seorang artis tempatan iaitu Awang Abdul Ajihis bin Haji Terawih dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam yang mempamerkan warisan seni negara dan budaya negara sebagai sebahagian daripada perjalanan baton antarabangsa.

    Acara King’s Baton Relay sempena sebahagian daripada persediaan menuju Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang diadakan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda