Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen kebersihan pantai kumpul lebih 200kg sampah

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 9 SEPT – Lebih 100 pegawai dan kakitangan Kumpulan Syarikat Serikandi (SKG) berjaya mengumpul 200.88 kilogram (kg) sampah dalam program Kempen Kebersihan Pantai tahunan yang diadakan di Taman Rekreasi Jubli Perak, Kuala Belait, baru-baru ini.

    Program tersebut, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKG dan sambutan ulang tahun ke-50 syarikat itu, diketuai oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif, Revi Bhaskaran.

    Dalam ucapan perasmiannya, Shaikh Khalid menegaskan program itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan pantai.

    “Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam, terutama di Daerah Belait, mengenai pentingnya menjaga kebersihan pantai dan alam sekitar, serta kesan buruk pembuangan sampah terhadap ekosistem,” katanya.

    Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak yang menyokong kempen tersebut, termasuk Serikandi Resthouse, Ya Nur Trading, Majestic Event Organizer, dan Ik Signature Series.

    Selesai ucapan, program diteruskan dengan sesi regangan ringkas sebelum para peserta dibahagikan kepada kumpulan bagi membersihkan kawasan pesisir pantai.

    Sebanyak 39 beg sampah berjaya dikumpulkan dan ditimbang, di mana kumpulan yang berjaya mengumpul jumlah sampah terbanyak diberikan penghargaan atas usaha serta inisiatif mereka oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan SKG.

    Menurut SKG, program tersebut bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kebersihan pantai, tetapi juga bagi memupuk tanggungjawab dalam kalangan kakitangan dan komuniti setempat untuk terus menjaga kebersihan alam sekitar.

    Antara yang menyertai kempen tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda