Monday, September 23, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen kebersihan pantai kutip 250kg sampah

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 22 SEPT – Sebanyak 250 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip semasa kempen kebersihan pantai yang disertai oleh kira-kira 350 pemimpin dan ahli pengakap dari Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) di Pantai Peranginan Sungai Liang, Kampung Sungai Liang, Daerah Belait, hari ini.

    Kempen kebersihan anjuran PPNBD melalui Persatuan Pengakap Daerah Belait (PPDB) itu diadakan sempena Hari Pembersihan Sedunia 2024 dan Hari Kedamaian Antarabangsa 2024 yang disambut setiap tahun pada 21 September, serta Cabaran Plastic Tide Turners (PTTC) yang merupakan inisiatif yang diterajui Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) untuk mendidik golongan muda di seluruh dunia tentang pencemaran plastik.

    Dalam ucapan, Ketua Kampung Sungai Liang, Awang Mohammad Haszrin bin Bagol berkata, “Sebagai ketua kampung, saya bersyukur kerana PPNBD dan PPDB memilih untuk menyumbangkan masa dan tenaga dalam membantu membersihkan pantai di daerah ini dan saya berharap inisiatif ini dapat membantu menyemarakkan lagi kempen dan program serupa yang akan diadakan dengan kerap di kawasan lain yang sering dikunjungi orang ramai, demi memastikan semua orang dapat menikmati keindahan yang terdapat di seluruh negara.”

    Kempen diteruskan dengan ketua dan ahli pengakap berpecah kepada kumpulan masing-masing untuk mengutip sampah yang dibuang atau terdampar di pantai.

    Turut hadir semasa kempen tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Junaidi bin Haji Hussin, ahli Majlis Pengakap Kebangsaan, pesuruhjaya pengakap, penolong pesuruhjaya pengakap, pemimpin pengakap, penolong pemimpin pengakap, pengakap tunas, pengakap muda, pengakap remaja, pengakap kelana dan orang-orang dewasa dalam pengakap.

    Antara peserta yang menyertai kempen tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda