Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Kepentingan menjaga persekitaran yang bersih adalah tanggungjawab semua dan tidak dapat dinafikan terdapat segelintir masyarakat kini yang kurang bertanggungjawab dengan membuang sampah sesuka hati di tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
Ke arah memastikan keadaan persekitaran dalam keadaan yang bersih, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panchor hari ini, telah melaksanakan kempen kebersihan yang mana kempen berkenaan tertumpu di kawasan sepanjang Jalan Bintagur bermula dari pusing keliling berhampiran Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor dan sepanjang Jalan Tanjung Selasih bermula di simpang 159-203.
Kempen berkenaan bertemakan Semarak Kebangsaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-41 dan sempena kedatangan bulan Ramadan. Ia disertai oleh Ketua Kampung kawasan 2, Haji Awang Mohammad Eddie Hardey bin Haji Awang Ibrahim dan ahli-ahli (MPK) serta penduduk-penduduk kampung Kawasan 2 RPN Panchor, Mentiri.