BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim Serasa, hari ini, telah mengadakan kempen kebersihan di kawasan letak kereta dan persekitaran perniagaan Pekan Muara.
Turut sama menjayakan kempen kebersihan berkenaan ialah agensi-agensi kerajaan yang terdiri daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei cawangan Muara, Tentera Laut Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Muara, pegawai dan kakitangan Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi (JASTRe), Jabatan Perancang Bandar dan Desa, penduduk kampung serta pemilik-pemilik bangunan perniagaan dan penyewa premis perniagaan.
Hadir sama pada kempen kebersihan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Osman @ Othman selaku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Rancangan Perumahan Negara Serasa serta Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Jabatan Daerah dan Muara dalam kenyataannya menjelaskan, kempen kebersihan ini merupakan salah satu aktiviti jabatan melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan yang antara lain bertujuan bagi menyemai sikap cintakan kebersihan alam sekitar.
Selain itu, ia juga bagi menanamkan kefahaman kepada orang awam khususnya penduduk kampung dan pemilik serta penyewa premis perniagaan di kawasan berkenaan akan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kebersihan alam sekitar bukan hanya dipihak kerajaan sahaja.
Di samping itu, ia secara langsung memberi kesedaran kepada orang awam tentang kesalahan-kesalahan membuang sampah di tempat yang bukan dikhaskan dan jika didapati melakukan kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $500 di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1).