BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Jawatan-kuasa Induk Isu-Isu Kebersihan, yang penubuhannya telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, akan mengadakan Kempen Ke-sedaran Kebersihan Senegara pada Ahad ini (1 Oktober) di keempat-empat daerah.
Kementerian Pembangunan dalam satu kenyataan hari ini berkata, kempen bertemakan ‘Brunei Bersih dan Hijau’ itu bertujuan untuk mewujudkan suasana persekitaran yang bersih menjelang Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta pada 5 Oktober.
Di samping itu, ia juga bermatlamat untuk memberi kesedaran kepada seluruh warga dan penduduk negara ini dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran negara di samping mencapai hasrat Wawasan Brunei 2035 ke arah Kehidupan Rakyat Yang Berkualiti Tinggi.
Orang ramai juga disarankan agar dapat bersama-sama memelihara dan menjaga segala prasarana-prasarana dan kemudahan-kemudahan awam yang telah disediakan dan menghindarkan daripada perbuatan memugut.
Sehubungan dengan ini, Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan dengan kerjasama jawatankuasa-jawatankuasa sektoral Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta mengalu-alukan penyertaan semua rakyat dan penduduk di negara ini termasuk agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan, persatuan-persatuan belia, badan-badan bukan kerajaan (NGO), majlis-majlis perundingan kampung dan mukim serta pihak swasta untuk sama-sama menjalankan kempen berkenaan agar kawasan-kawasan dalam dan luar bandar di seluruh negara akan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur.
Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan diketuai oleh penasihat-penasihat yang terdiri daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Pembangunan dan Menteri Kesihatan serta Timbalan Menteri Pembangunan selaku pengerusi.