Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Jabatan Kemajuan Pelancongan meneruskan kempen pelancongan domestik dengan penglibatan dalam acara Pesta Pelancongan Brunei Sabre 2022 yang diadakan dua hari hingga hari ini di Pusat Membeli-belah OneCity.
Objektif penglibatan jabatan tu adalah untuk mempromosi kempen Kenali Negara Kitani (KNK) yang pada mulanya diperkenalkan pada November 2006 dengan penjenamaan semula KNK yang bukan sahaja memberikan wajah baharu kepada logo KNK, bahkan juga membawa maksud pembaharuan dan penambahbaikan dari segi tarikan dan produk-produk pelancongan yang terdapat pada masa ini.
Melalui kempen itu, orang ramai dapat mengetahui produk dan aktiviti pelancongan domestik yang ditawarkan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan.
Antara penyedia-penyedia perkhidmatan pelancongan yang turut serta bersama Jabatan Kemajuan Pelancongan adalah Angkasa Oud Agarwood, Syarikat Wira Bina, Sibut Longhouse dan Poni Divers yang mempamerkan pelbagai produk dan aktiviti pelancongan sesuai bagi setiap peringkat umur.
Selain itu, terdapat juga beberapa agensi pelancongan lain yang turut menawarkan pakej-pakej pelancongan dalam negara.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, antaranya seperti KNK Mix & Match dan Kuiz KNK untuk pengunjung di petak pameran jabatan tersebut.
