Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Sebanyak 59 pain darah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah anjuran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.
Kempen yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Bangunan KSSUP selama lebih lima jam itu telah mendapat sambutan dengan seramai 83 orang terdiri daripada warga KSSUP dan orang awam telah tampil mendaftar.
Salah seorang warga KSSUP yang ditemui, Dayang Unaizah binti Haji Yusof berkata, penyertaan dalam kempen seumpama itu adalah kali keempat di mana kali pertama pada 2012 dan pada 2013, beliau terpaksa berhenti buat sementara disebabkan pengambilan ubat atas masalah kesihatan.
Beliau berharap untuk menjadi salah seorang penderma aktif dan kalau boleh dilakukan setiap dua bulan sekali, selain akan terus kekal menjaga pengambilan pemakanan serta memperbanyakkan makan sayur dan buah.
Menurutnya, bagi penyertaan dalam kempen kali ini, beliau tidak membuat sebarang persiapan dan ia dibuat secara datang terus sahaja dan itu yang pertama di buat setelah 10 tahun terhenti.
Manakala Haji Mohd Suffian bin Haji Mohd Yussof, salah seorang pemandu di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan, setiap kali ingin menderma darah, beliau tidak akan melakukan senaman dalam tempoh 24 jam.
“Penyertaan dalam kempen seumpama itu adalah kali ketiga yang mana kali pertama di buat pada tahun 2002,” jelasnya.
Beliau turut mengongsikan, sebelum membuat keputusan untuk menderma pada kali pertama dulu, beliau ada bertanya kepada rakan-rakan sekerja yang pernah menyertai dalam kempen seumpama itu mengenai kebaikan menderma darah.
Antaranya dapat membantu orang ramai yang memerlukan darah, selain mengongsikan setelah menderma darah, badan terasa ringan.
Lebih dari itu, tujuan kempen adalah bagi memberikan peluang kepada penderma dalam membantu meningkatkan tabung simpanan darah di Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS.
Di samping sebagai salah satu usaha bersama dalam melibatkan penyertaan warga kerja dan stakeholders di KSSUP, usaha seperti itu juga adalah bagi menyahut seruan kerajaan dalam Whole of Nation Approach.
Kempen derma darah adalah sempena dengan Kempen Hari Bertindak sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023 yang disambut setiap 5 November di bawah kluster kemasyarakatan.