Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen ‘Lakastah Minum Air Kosong’

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Kajian saintifik menunjukkan bahawa sebanyak 34.6 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun meminum minuman yang mengandungi gula setiap hari dan kajian juga menunjukkan bahawa satu daripada dua (1:2) kanak-kanak berada dalam kategori berlebihan berat badan atau obes.

    Perkara itu perlu dielakkan dan kerjasama daripada semua pihak perlu difikirkan untuk sama-sama menangani masalah itu supaya ia tidak terus meningkat, jelas Guru Besar Sekolah Rendah Perpindahan Lambak Kanan, Hajah Ismah binti Abdul Rahim dalam kata alu-aluannya di Majlis Kempen Lakas Tah Minum Air Kosong 2018 yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Perpindahan Lambak Kanan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Pegawai Penjaga Zat Makanan Kanan, Haji Zakaria bin Haji Kamis.

    Hajah Ismah berkata bahawa sekolahnya merupakan salah sebuah sekolah rintis yang terpilih dalam kempen minum air bagi 2018 dan pihaknya menyambut baik kempen berkenaan.

    Menerusi kempen itu, ulasnya lagi, manfaat dan mesej meminum air kepada kesihatan dapat disebarkan di mana murid yang sihat akan memberikan impak kepada penerimaan mereka dalam akademik, meningkatkan produktiviti, mengurangkan toksin dalam badan serta setiap kali minum air kosong dapat mengembalikan 20 peratus tenaga yang hilang.

    Penuntut penempatan kerja Pusat Promosi Kesihatan dari Universiti Brunei Darussalam menerangkan kepada murid-murid mengenai pameran kandungan gula.

    Oleh itu, beliau berkata bahawa murid-murid perlu diberikan kesedaran mengenai kepentingan minum air daripada mereka di bangku sekolah lagi. Dalam usaha untuk menyokong kempen itu, jelasnya, pihak sekolah telah membuat makluman untuk menggalakkan ibu bapa dan penjaga membekalkan air kosong kepada anak-anak mereka ke sekolah.

    Di samping itu, pihak sekolah turut menjalankan beberapa aktiviti seperti memberikan nasihat setiap pagi mengenai kepentingan air, peraduan mewarna bagi rendah bawah, peraduan melukis poster bagi rendah atas serta meletakkan poster-poster kepentingan minum air di kawasan sekolah.

    Beliau menerangkan bahawa sejak kempen itu dimulakan pada 1 Februari lalu, pihak sekolah melihat beberapa perubahan yang mana murid-murid sentiasa membawa botol air semasa waktu rehat dan meminum air kosong selepas mereka melakukan aktiviti seperti senamrobik dan selepas mata pelajaran Pendidikan Jasmani.

    Kesedaran itu harus dipupuk dari awal lagi dan akan terus dilaratkan sampai bila-bila, tambahnya lagi.

    Kempen Lakas Tah Minum Air Kosong 2018 dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama pelajar-pelajar penempatan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Ia bermatlamat untuk menggalakkan pengambilan air kosong dalam kalangan pelajar-pelajar dan warga sekolah sebagai pilihan minuman yang sihat.

    Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan meminum air kosong di kalangan warga sekolah terutama sekali pelajar-pelajar sekolah dan warga sekolah yang lain termasuklah guru-guru sekolah serta untuk mendokong dasar meminum air yang telah diperkenalkan oleh pihak Kementerian Kesihatan pada Mac 2017.

    Melihat kepada hasil daripada kaji selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 2011, Kementerian Kesihatan telah mengambil pendekatan dengan mengadakan kempen berkenaan, bermula 1 Februari hingga 15 Mac, iaitu kira-kira sebulan 15 hari.

    Sebagai permulaan, para pelajar telah pun diberi penerangan tentang kebaikan meminum air kosong dan digalakkan untuk membawa air kosong setiap hari ke sekolah.

    Sejak 1 Februari lalu, setiap pelajar yang membawa air kosong ke sekolah akan dicatat dalam buku catatan harian yang disediakan. Selain itu juga, beberapa aktiviti seperti Peraduan Mewarna bagi pelajar-pelajar Tahun 1 hingga 3 dan Peraduan Melukis bagi pelajar Tahun 4 hingga 6 telah diadakan pada 3 Februari.

    Majlis kelmarin dimulakan dengan sesi senamrobik yang diketuai oleh pelajar pelajar penempatan UBD. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada pemenang-pemenang Peraduan Mewarna dan Melukis oleh Haji Zakaria.

    Semasa acara itu juga, taklimat kesihatan yang berkaitan dengan kepentingan meminum air kosong dan amalan gaya hidup sihat, kuiz serta pameran kesihatan juga turut diadakan.

    Dengan adanya pendekatan seperti itu, Kementerian Kesihatan berharap supaya warga sekolah dan ibu bapa akan lebih peka dengan penyediaan makanan dan minuman yang sihat bagi pelajar-pelajar sekolah.

    Kerjasama padu daripada semua pihak yang berkepentingan adalah penting bagi mendukung dasar meminum air, khususnya dengan memberi galakkan dan menekankan kebaikan meminum air kosong. la bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri, bahkan juga untuk membantu dalam menurunkan kadar berat badan yang berlebihan atau obes dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah yang berumur lima hingga 14 tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda