LONDON – Pendandan rambut di seluruh Britain digesa supaya melakukan sesuatu untuk alam sekitar dengan memproses rambut yang digunting untuk diproses semula demi membantu membersihkan tumpahan minyak, membuat kompos ataupun menghasilkan tenaga elektrik.
Di sebuah salun di timur London, Fry Taylor, salah seorang pengasas Green Salon Collective, menunjukkan bagaimana rambut yang dibuang digunakan dalam penapis pencemaran.
Beliau menunjukkan bagaimana jaring kapas yang dipenuhi dengan rambut, dihanyutkan di atas permukaan sebuah tangki air yang dicemari dengan minyak motor, dengan serta-merta membersihkan bahan cemar tersebut.
“Rambut secara semula jadi akan menyerap minyak dan menahan minyak berkenaan, itulah faktor penting,” beritahu Taylor, seorang bekas pendandan rambut, kepada AFP.
Satu kilogram rambut boleh menyerap sehingga lapan liter minyak, menurut pakar.


Idea menggunakan penapis rambut berasal dari Amerika Syarikat dan telah pun diuji dalam bencana sebenar, seperti apabila sebuah kapal tangki Jepun tenggelam di luar pantai Mauritius setahun lalu.
Britain ketinggalan di belakang dalam mengitar semula rambut yang tidak dikehendaki apabila kolektif itu ditubuhkan pada musim panas lalu, menurut Taylor.
“Namun, terdapatnya sistem kitaran semula untuk salun pendandan rambut di negara lain di seluruh dunia,” katanya.
“Di UK dan Ireland, mereka tidak mempunyai infrastruktur untuk melakukannya.
“Kami tidak akan menunggu sehingga lima atau 10 tahun untuk kerajaan dan majlis mendirikan sistem berkenaan, jadi biarlah kami melakukannya sendiri,” tambah beliau.
Bahan buangan yang dihasilkan oleh industri mendandan rambut di UK setiap tahun mampu mengisi 50 stadium bola sepak, menurut kesatuan kolektif itu.
Kebanyakan sampah, termasuk kerajang aluminium, tiub warna serta 99 peratus potongan rambut, dihantar ke tapak pelupusan sampah, tambahnya.
Satu lagi masalah besar yang dihadapi adalah bahan buangan kimia seperti pewarna dan peluntur.
“Buat masa sekarang, terdapat kira-kira 30,000 kedai salun dan 100,000 lagi pendandan rambut bebas’ yang mencurah hidrogen peroksida dan ammonia ke dalam sistem air, kata Taylor.
Kesatuan kolektif itu menggalakkan salun-salun supaya menyelamat produk berkenaan dalam tong sampah kecil yang kemudian dikumpulkannya dan dihantar ke sebuah tapak untuk menghasilkan elektrik.
Pendandan rambut Adam Reed, yang memiliki sebuah salun di kawasan mewah London Spitalfields, ialah seorang anggota yang baru menyertai misi mengitar semula dan dengan bangga menjelaskan sistemnya kepada pelanggan.
Berkata beliau ‘kagum’ dengan apa yang telah dipelajari daripada Green Salon Collective, pendandan rambut yang terkenal itu menambah beliau ‘tidak sedar tentang masalah yang besar tersebut’ sebelum ini.
“Ia membuat saya sedar bahawa kelestrian dalam salun-salun rambut adalah sesuatu yang telah hilang dan ia benar-benar senang untuk memperkenalkannya dalam salun,” ujar beliau.
“Kami mempunyai tong sampah kami, semuanya dilabel, maka adalah mudah untuk melakukannya.”
Rambut, peralatan perlindungan, besi, kertas dan plastik masing-masing mempunyai tong sampah mereka sendiri.
Kedai salun itu, yang membayar yuran 120 pound untuk menjadi ahli kesatuan kolektif, juga mengitar semula sisa-sisa produk pewarna.
Reed mengenakan pelanggan ‘cukai hijau’ sebanyak satu atau dua pound, dan setakat ini telah menerima ‘respons amat positif.’
Membuat kompos juga merupakan satu inisiatif lestari penggunaan rambut, dengan isi kandungan yang kaya dengan nitrogen menjadikannya sesuai untuk baja.
Anggota kesatuan kolektif Ryan Crawford, tuan punya kedai salun di bandar Milton Keynes, barat laut London, telah menjalankan uji kaji dengan rambut ke atas sayur-sayurannya di kebun.
Pada satu hari yang cerah pada Julai, beliau menunjukkan kepada AFP dua pucuk kubis: satu dikelilingi rambut, masih dalam keadaan baik; satu lagi, ditanam tanpa rambut, mempunyai lubang tebuk dan dalam bentuk rangka.
“Ia bagaikan satu lapisan perlindungan mengelilingi anak benih yang baru cambah,” katanya.
“Sudah pastinya ia berjaya menjauhkannya daripada siput,” tambah beliau, berkata meletak rambut secara langsung dalam tanah juga membantu mengekalkan kelembapan dan bertindak sebagai ‘makanan berzat untuk bumi,’ mengganti paras nitrogen.
Sejak setahun lalu, kira-kira 600 salun di UK dan Ireland telah menyertai kesatuan kolektif itu, yang berjaya mengumpul kira-kira 500 kilogram rambut.
Ia telah digunakan untuk membersihkan jalan air, tumpahan minyak di Ireland Utara pada Mei dan juga untuk membuat kompos.
Kesatuan kolektif itu juga mengutip 3.5 tan besi, yang sedang dikitar semula. Kini ia berharap dapat mengeksport model iu secara besar-besaran ke seluruh Eropah. – AFP