Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen mengisi minyak dengan selamat

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai garis panduan keselamatan khususnya ketika mengisi minyak di stesen-stesen minyak, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) melancarkan Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat (FSFS) yang berlangsung di Kompleks Membeli-belah One City, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian kempen berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary berkata Kempen FSFS telah memupuk kesedaran orang ramai mengenai keselamatan di stesen-stesen minyak.

    Hasil daripada kempen itu, ulasnya, orang ramai kini sedar mengenai keselamatan di stesen minyak dan memaklumkan pihak BSM melalui Pusat Penggilan BSM ataupun media sosial jika ada tindakan atau keadaan tidak selamat di stesen minyak.

    Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Urusan BSM, Awang Mohammed Alexirwan bin Haji Omar berkata sebagai pembekal bahan api utama Brunei, BSM berdedikasi untuk menyediakan persekitaran pengisian minyak yang selamat bagi semua pelanggan di stesen minyak menerusi peningkatan kesedaran orang ramai dan menyokong Juara Servis untuk menegakkan garis panduan keselamatan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary hadir selaku tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Pada acara berkenaan, orang ramai berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kesedaran keselamatan. Salah satu tarikan utama adalah inisiatif keselamatan baharu yang diperkenalkan di bawah Kempen FSFS.

    Dalam inisiatif berkenaan, Juara Servis akan meletakkan selendang keselamaran pada cermin sisi kenderaan pelanggan dalam warna minyak pilihan pelanggan. Selendang keselamatan itu mengingatkan pelanggan untuk mematikan enjin kenderaan ketika Juara Servis mengingatkan lanjut mengenai prosedur keselamatan penuh termasuk menutup peranti elektronik sebelum memulakan proses pengisian.

    Inisiatif itu bermatlamat mencegah insiden seperti pengisian minyak salah dan tercabut nozel pam minyak.

    Aktiviti-aktiviti keselamatan lain turut dilaksanakan seperti kesedaran keselamatan jalan raya, demonstrasi langkah berjaga-jaga yang penting untuk diambil ketika memandu berhampiran road tanker carriers (RTC) khususnya berhubung titik buta, garis panduan keselamatan penggunaan gas cecair petroleum (LPG) dan penggunaan jerry can ketika mengisi minyak di stesen minyak.

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif keselamatan yang sedang berlangsung, BSM telah melantik Duta Runcit HSSE untuk meningkatkan lagi keselamatan di stesen minyak. Duta-duta berkenaan menerajui sesi suku tahunan untuk menyemak insiden dan berkongsi pandangan keselamatan.

    Pada acara FSFS berkenaan, duta-duta telah berperanan menyokong usaha BSM untuk mencegah kemalangan dan menegakkan standard keselamatan ketat di kesemua stesen minyak.

    Dengan komitmen berterusan terhadap keselamatan, Kempen FSFS mengukuhkan lagi misi BSM untuk menegakkan standard keselamatan tertinggi di kesemua stesen minyak, memastikan pengalaman pengisian minyak yang selamat untuk orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda