Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Sebagai peringatan untuk menghargai keindahan pantai dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peranan kebersihan dan mempromosikan kesejahteraan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara mengadakan Kempen Kebersihan Kawasan Pantai Jerudong kelmarin.
Kempen berkenaan dijalankan di kawasan sepanjang Pantai Jerudong, tempat letak kereta, kawasan lapang berdepan dengan Restaurant Neptune, Pasar Jerudong serta Pantai Siandang hingga kawasan penurunan perahu.
Hadir selaku tetamu kehormat pada kempen tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
Turut hadir adalah pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, penghulu dan ketua kampung serta penduduk kampung di kalangan Majlis Perundingan Mukim Sengkurong, Majlis Perundingan Kampung Jerudong A dan Jerudong B serta badan-badan bukan kerajaan dari Beach Bunch dan Poni Divers untuk membantu secara sukarela membersihkan pantai dalam kempen berkenaan.
Semua di atas: Antara aktiviti semasa kempen berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JDBM