Friday, February 7, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen pemberigaan pentingnya jaket keselamatan

    Oleh Nurdiyanah R. & Fadley Faisal

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Sebagai usaha yang berterusan untuk mencapai matlamat dalam memberi kesedaran serta memastikan pemandu-pemandu dan penumpang-penumpang perahu tambang menggunakan jaket keselamatan, Kementerian Perhubungan dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (PBMP) telah meneruskan lagi

    Kempen Pemberigaan Kepentingan Pemakaian Jaket Keselamatan Semasa Menaiki Perahu Tambang di Sungai Brunei, bertempat di kawasan Jeti Penumpang Tebing Sungai Yayasan, pagi tadi.

    Kempen kali kedua tersebut, yang merupakan kesinambungan daripada kempen yang sebelumnya yang pernah diadakan pada 23 Disember lalu, bertujuan untuk memberi perkhidmatan penjualan jaket keselamatan secara langsung di kawasan tersebut dengan kerjasama Syarikat Aewon Garment and Embroidery selaku syarikat yang menawarkan perkhidmatan penjualan jaket keselamatan berkenaan. Adapun antara inisiatif kerjasama syarikat itu dilakukan adalah untuk memenuhi maklum balas para pemandu perahu tambang yang menyuarakan kepayahan untuk membeli jaket keselamatan disebabkan faktor masa semasa kempen sebelumnya.

    Hadir menyertai kempen pagi itu ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr. Haji Supry bin Haji Ladi.

    Turut menyertai kempen ialah pegawai-pegawai kanan di Kementerian Perhubungan dan PBMP serta Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei. Dalam kempen pagi itu, daripada 50 buah perahu tambang yang dipantau, terdapat 47 orang pemandu perahu tambang yang membeli dan memakai terus jaket keselamatan pada pagi itu. Sementara hanya 10 peratus daripada kalangan para penumpang perahu tambang yang memakai jaket keselamatan semasa kempen tersebut.

    Lau Chai Seng semasa menyerahkan jaket keselamatan kepada Haji Yusoff sebagai menandakan bermulanya kempen pemberigaan tersebut.
    B.C. Mohan (dua, kanan) ketika menyerahkan sumbangan berupa jaket keselamatan kepada Ketua Jabatan Perikanan Kuala Belait, Haji Mohaimin bin Damit.

    Pegawai Jurutera Laut, Ketua Bahagian Penguatkuasaan PBMP, Haji Yusoff bin Haji Metussin menjelaskan bahawa dengan kempen pemberigaan ini, diharap ia dapat memberi kesedaran kepada pengguna perairan Sungai Brunei untuk sentiasa memakai jaket keselamatan dengan sempurna yang sudah setentunya berpotensi besar dapat membantu menggurangkan dan mengelakkan risiko kemalangan pada bila-bila masa.

    “Semasa kempen berkenaan, para pemandu perahu juga ditawarkan untuk membuat pembelian jaket keselamatan termasuklah bagi penumpang-penumpang mereka yang telah diedarkan oleh Syarikat Aewon selaku penaja utama dalam kempen tersebut dengan kadar harga yang berpatutan, ” jelas beliau lagi.

    Semasa ditemu oleh Media Permata, Pengarah Aewon Garment dan Embroidery, Lau Chai Seng menyatakan bahawa sebanyak 50 helai jaket keselamatan diedarkan semasa kempen pemberigaan tersebut, yang mana Syarikat Aewon menawarkan harga promosi kepada para pemandu perahu.

    “Kempen seperti ini sangat penting dilaksanakan kepada para pemandu perahu dan juga penumpang-penumpangnya untuk memberi kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan agar dapat menghindari atau mengurangi risiko perkara-perkara yang tidak dingini seperti kemalangan berlaku,” jelas beliau lagi kepada Media Permata.

    Jelas beliau lagi, syarikat berkenaan akan sentiasa meneruskan sokongan bersama-sama PBMP untuk memberikan kesedaran langkah-langkah keselamatan kepada masyarakat di negara ini khususnya bagi para pemandu dan penumpang perahu dari masa ke masa melalui penajaan jaket keselamatan dengan mengikuti program-program kempen pemberigaan seperti ini di masa akan datang.

    Sehubungan dengan itu, Haji Yusoff menyarankan kepada para pemandu dan penumpang perahu di perairan Sungai Brunei untuk sentiasa mengamalkan penggunaan jaket keselamatan semasa menaiki perahu tambang.

    “Di samping itu, para pemandu perahu juga perlu sentiasa berwaspada dengan mengawasi persekitaran perairan yang terdapat binaan-binaan agar dapat menghindari kejadian-kejadian yang tidak diingini terjadi semasa menjalankan aktiviti-aktiviti menambang dari semasa ke semasa,” ujar beliau lagi.

    Penumpang dan pemandu perahu tambang memakai jaket keselamatan yang telah diedarkan.

    Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa sebagai langkah-langkah pemantauan bagi peraturan pendaftaran dan lesen pemilik perahu di negara ini dengan tujuan untuk membanteras pemilik perahu yang mempunyai pendaftaran dan lesen yang sudah mansuh daripada berleluasa, maka PBMP berhasrat akan mengadakan kursus dan ujian kelas memandu perahu Lesen Kelas 9 yang akan diumumkan nanti bertempat di kawasan tersebut sebagai pemudahcara bagi pemandu dan pemilik perahu untuk mendaftarkan dan memperbaharui lesen perahu mereka.

    Sehubungan dengan itu, berdasarkan statistik yang diperolehi dari Kementerian Perhubungan dan PBMP bagi tahun 2017, sebanyak 140 buah perahu tambang yang berdaftar keseluruhannya. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 225 buah perahu tambang telah berdaftar dan memenuhi piawaian serta memiliki Lesen Kelas 9.

    “Adalah menjadi suatu kesalahan kepada pemandu dan pemilik perahu yang membuat pengubahsuaian pada perahu mereka seperti menambah enjin atau kuasa enjin yang melebihi had yang ditetapkan oleh PBMP dan jika didapati berlaku maka PBMP dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan mengambil tindakan segera,” ujar beliau lagi.

    Beliau menjelaskan lagi bahawa PBMP bersama-sama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain antaranya Pasukan Polis Marin Brunei akan menjalankan pemantauan perahu-perahu di sekitar perairan Sungai Brunei secara berterusan sebagai matlamat untuk menjayakan kempen pemberigaan berkenaan.

    Oleh yang demikian dengan adanya kempen secara berterusan ini dan juga bantuan daripada ketua-ketua kampung di Kampong Ayer, dihasrat akan membantu Kementerian Perhubungan dan PBMP mencapai sasaran untuk menaikkan jumlah peratus pemandu dan juga penumpang yang memakai jaket keselamatan semasa menaiki perahu tambang di perairan Sungai Brunei.

    Sementara itu, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pemeriksaan persendirian bagi Brunei Shell Petroleum (BSP), Perusahaan Mozzat Sdn Bhd (MESB), baru-baru ini telah mendermakan sejumlah 80 jaket keselamatan kepada Jabatan Perikanan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial MESB.

    Hadir bagi menyempurnakan penyerahan sumbangan tersebut ialah Pengurus Kontrak MESB, B.C. Mohan, yang kemudian menekankan pentingnya menjaga keselamatan berikutan kejadian bencana alam yang semakin kerap terjadi di seluruh dunia. Ini adalah kerana kebanyakan kejadian nelayan kehilangan nyawa adalah kerana mereka mengabaikan pemakaian jaket keselamatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda