Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Sebagai persediaan bagi pembukaan semula semua masjid, surau dan balai ibadat semasa Fasa Peralihan pada 19 November ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid meneruskan lagi kempen pembersihan masjid di seluruh ne-gara hari ini.
Kerja-kerja pembersihan masjid meliputi kerja-kerja pembersihan luar dan dalam bangunan masjid, kerja pensanitasian dan penyusunan tanda-tanda bagi penjarakan saf-saf yang dilaksanakan oleh pegawai dan petugas masjid dengan kerjasama ahli jawatankuasa (AJK) takmir dan belia masjid serta syarikat-syarikat perkhidmatan pembersihan.
Antara masjid yang melakukan kerja-kerja pembersihan, kerja pensanitasian serta penyusunan tanda-tanda bagi penjarakan saf-saf hari ini ialah Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; Masjid Luagan Dudok, Daerah Tutong; Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai; Masjid Kampung Lubok Pulau dan Masjid Kampung Benutan, Daerah Tutong dan Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Kerja-kerja pembersihan seumpama ini akan sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa,termasuk pembersihan semua tombol atau pemegang pintu; pembersihan ruang sembahyang, pembersihan permukaan-permukaan seperti rak-rak, tiang-tiang dan sebagainya dengan menggunakan cecair pembasmi kuman, selain pembersihan tandas dan tempat berwuduk.
