Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kempen Planet Us dilancarkan di Kuching

    KUCHING, 15 JUN – Kempen Planet Us bagi menggalakkan belia di seluruh negara menyatakan pendirian terhadap isu perubahan iklim, dilancarkan di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

    Kempen tersebut, yang dibangunkan dan dianjurkan oleh pengusaha perniagaan sosial Biji Biji Initiative bersama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, melibatkan siri pameran dan program yang direka bagi memberi inspirasi untuk mengambil tindakan dan menggalakkan perbincangan mengenai pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee berkata sebagai negeri yang kaya biodiversiti, Sarawak adalah titik permulaan yang ideal untuk kempen seperti Planet Us.

    “Kami harap dengan kempen pendidikan seperti Planet Us, lebih ramai orang muda boleh memberi inspirasi untuk tindakan dan mencurahkan idea penyelesaian yang kreatif kepada masalah alam sekitar yang sangat banyak kita hadapi sekarang.

    “Ia juga penting untuk kita menyemai amalan menjaga alam sekitar dari usia muda. Inisiatif seperti Planet Us adalah cara yang baik untuk menggalakkan usaha kemapanan sambil membantu belia memahami keperluan perubahan paradigma hari ini untuk masa depan yang lebih baik,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian kempen tersebut di sini, hari ini.

    Kempen Planet Us, yang dijadualkan berlangsung selama empat bulan dari Jun hingga September, akan dianjurkan di beberapa negeri termasuk Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur.

    Sementara itu Kuasa Usaha Kedutaan AS di Kuala Lumpur Michael Newbill berkata perasmian Planet Us sangat sesuai diadakan di Sarawak kerana negeri itu kaya dengan hidupan liar, kepelbagaian biodiversiti dan sumber asli.

    “Menerusi Planet Us, kami menyasarkan untuk memberi inspirasi kepada belia Malaysia untuk mengambil tindakan dalam memperjuangkan krisis iklim dan supaya mereka memahami bahawa setiap langkah kecil boleh membawa perubahan besar ke arah melindungi alam sekitar,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...