Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen pupuk jiwa kesukarelawanan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 10 DIS – Daerah Tutong turut tidak ketinggalan dalam memeriahkan Kempen Hari Bertindak (DOA) bersempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023 yang berlangsung di beberapa buah lokasi terpilih di daerah berkenaan, bermula awal pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi sama-sama menyertai pengisian kempen anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kemasyarakatan, KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Turut hadir adalah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan; Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Dahliana binti Haji Aliakhbar; dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

    Kempen yang diungkayahkan serentak bersama tiga buah daerah yang lain berkenaan telah dimulai dengan acara pelepasan kenderaan pacuan empat roda yang menghantar sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Daerah Tutong dan Daerah Belait yang dirasmikan sesi pelepasannya oleh tetamu kehormat.

    Kemudian tetamu kehormat dan rombongan seterusnya bergerak ke kawasan bangunan Pusat Belia Tutong bagi mengikuti aktiviti sesi senamrobik sebelum meneruskan aktiviti menanam pokok bunga bersama Kumpulan IMPAK Pengerak Belia Daerah Tutong dan golongan sukarelawan.

    Setelah itu, kempen diteruskan dengan beberapa pengisian menarik iaitu aktiviti mengecat pondok di kawasan Bangunan Bunga Cempaka Bersaudara sebelum beredar ke sebuah destinasi pelancongan menarik iaitu Lamin Warisan yang terletak di Kampung Tanjong Maya bagi sama-sama menyaksikan tatacara membuat pulut panggang.

    Tetamu kehormat dan rombongan juga meneruskan aktiviti lawatan kilang produk minyak wangi daripada pokok gaharu di Angkasa Oud, Kampung Tanjong Maya sebelum diteruskan dengan aktiviti INFAQ di Masjid Kampung Tanjong Maya bersama Majlis Perundingan Kampung Tanjong Maya.

    Pengisian kempen diikuti dengan lawatan ke Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong dan disambut oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam bagi menyaksikan kegiatan-kegiatan yang diungkayahkan oleh ahli PKWE Daerah Tutong. Acara diakhiri dengan menyaksikaan bengkel aplikasi Mengalinga yang diadakan secara maya di Pusat Belia Tutong.

    Dengan adanya pengisian aktiviti-aktiviti sedemikian, ia diharap mewujudkan golongan masyarakat yang sentiasa bergerak ke arah perubahan positif melalui pelbagai pendekatan bersepadu terutamanya dalam memupuk jiwa kesukarelawanan meliputi semua lapisan masyarakat secara amnya.

    Dr Siti Norkhalbi, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz, Hajah Dahliana dan Awang Mohammad Sofian merakamkan detik kenangan bergambar ramai bersama ahli-ahli jawatankuasa Kempen Hari Bertindak di Daerah Tutong, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda