Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Dalam memupuk semangat dan kesedaran mengenai pentingnya memelihara alam sekitar, Tinkerbell Learning School telah mengadakan kempen kebersihan di Pantai Muara, baru-baru ini.
Kempen tahunan itu telah melibatkan seramai 84 orang murid Tahun 5 dan 6 bersama lima orang guru sekali gus sebagai aktiviti bagi mengisi hari terakhir persekolahan penggal kedua.
Turut hadir ialah Pengetua Tinkerbell Learning School, Dayang Nurul Azimah binti Haji Abdul Rahman; dan Ashieken Bartholomew selaku pengurus sekolah tersebut.
Melalui kempen berkenaan, ia diharap mampu mendidik semua yang terlibat untuk sentiasa mengamalkan budaya menjaga persekitaran termasuklah keindahan pantai dalam sama-sama membantu mengurangkan pencemaran sampah plastik yang memasuki lautan dari semasa ke semasa.