BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Dengan hasrat untuk meningkatkan semangat kenegaraan dan patriotisme yang tinggi dan menanamkan sikap masyarakat supaya sentiasa menyemarakkan Hari Kebangsaan dengan mengibarkan bendera negara, Jabatan Penerangan telah mengendalikan Kempen Semarak Kebangsaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-40 (HK-40), Tahun 2024 di keempat-empat buah daerah, baru-baru ini.
Kempen dilancarkan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini di Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan.
Terdahulu, Dayang Sastra Sarini turut menyampaikan bendera negara kepada ketua-ketua konvoi yang terdiri daripada Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, (Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik), Dayang Mufidah binti Abdul Hakim (Konvoi 1) dan Pegawai Penerangan Kanan (Ketua Bahagian Cawangan Daerah), Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar (Konvoi 2).
Kempen dilaksanakan dengan format konvoi ke mukim-mukim yang dipilih di setiap daerah di mana destinasi dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Konvoi 1 menuju ke Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong, manakala Konvoi 2 ke Daerah Tutong dan Daerah Belait.
Dari Ibu Pejabat Jabatan Penerangan, Konvoi 1 menuju ke Dewan Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia bagi penyerahan bendera kepada 40 penerima terpilih di Mukim Zon 1 dan 2, Kampong Ayer meliputi Kampung Setia A dan Setia B, Kampung Bolkiah A dan Bolkiah B dan Kampung Sungai Kebun.
Destinasi seterusnya ialah Mukim Bokok, Daerah Temburong di mana penyampaian bendera kepada 40 orang penerima terpilih diadakan di kediaman pemangku penghulu mukim berkenaan.
Sementara itu, Konvoi 2 pula bertolak ke Mukim Keriam di mana penyampaian bendera kepada 40 orang penerima diadakan di kediaman Penghulu Mukim Keriam.
Pada sebelah petang, rombongan bertolak ke Mukim Liang dengan penyampaian bendera diadakan di kediaman penghulu mukim.
Di samping menyemarakkan dan memeriahkan sambutan (HK-40), kempen berkenaan juga merupakan salah satu daripada Strategi Komunikasi Bersemuka Jabatan Penerangan untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat dan bagi membina semangat solidariti patriotik serta kenegaraan yang tinggi berkonsepkan Melayu Islam Beraja (MIB).