Wednesday, February 26, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen SMS Brunei Prihatin dilancarkan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd telah melancarkan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim 1446/2025 hari ini bertempat di Dewan Digadong, KKBS.

    Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Majlis juga diselajurkan dengan penyerahan derma hasil kutipan SMS Brunei Prihatin yang dikumpulkan pada tahun 1445/2024 daripada syarikat-syarikat telekomunikasi kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Jumlah kutipan SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-anak Yatim 1445/2024 berjaya mengumpul sebanyak $154,245.

    Daripada jumlah tersebut, $137,506 adalah sumbangan daripada DST Sdn Bhd iaitu sebanyak $127,506 adalah hasil kutipan daripada pelanggan DST dan sejumlah $10,000 adalah sumbangan daripada Syarikat DST Sdn Bhd yang diserahkan oleh Naib Presiden Hal Ehwal Korporat DST Sdn Bhd, Hajah Safrina binti Pehin Dato Haji Abdul Rahman.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menerima sumbangan daripada Syarikat DST Sdn Bhd. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir ke majlis pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim 1446/2025 bertempat di Dewan Digadong, KKBS, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan surat penganugerahan Program Biasiswa Anak Yatim Sesi 4 (2025) kepada salah seorang daripada orang anak-anak yatim yang terpilih. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara yang hadir ke majlis pelancaran tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Sementara itu, Progresif menyumbangkan $13,029 iaitu $12,029 adalah hasil kutipan daripada pelanggan Progresif dan $1,000 adalah sumbangan daripada Syarikat Progresif Sdn Bhd yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jafar.

    Manakala, imagine Sdn Bhd pula berjaya mengumpulkan sebanyak $3,710 yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, imagine Sdn Bhd, Allen On.

    SMS Brunei Prihatin merupakan projek tahunan yang diungkayahkan bersama oleh JAPEM, RTB dan syarikat telekomunikasi sejak tahun 2005 bagi membuka platform untuk memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah Pendaftaran Kebangsaan Anak-anak Yatim. Sejak platform ini dibukakan, sambutan daripada orang ramai adalah sangat menggalakkan. Semua jumlah kutipan yang diterima akan disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung Anak-anak Yatim di bawah kendalian JAPEM.

    Kutipan derma melalui SMS yang dilancarkan hari ini akan berlangsung selama sembilan bulan bermula 25 Februari dan berakhir pada 25 November.

    Oleh yang demikian, orang ramai bolehlah menderma melalui perkhidmatan SMS yang disediakan dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100. Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan imagine hantar kepada 39999.

    Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian surat penganugerahan Program Biasiswa Anak Yatim Sesi 4 (2025) kepada dua orang anak yatim yang terpilih mengikuti Program BIBD ALAF iaitu pelajar Tahun 4 di Sekolah Rendah Sungai Siamas, Awang Mohammad Azhar Firdaus bin Mohaimin dan penuntut Tahun 8 di Sekolah Menengah Pengiran lsteri Hajjah Mariam, Awang Sulaiman bin Haji Ahmad.

    Peserta yang mengikuti pembelajaran melalui Program BIBD ALAF ini akan dibiayai melalui Tabung Anak-anak Yatim di bawah kendalian JAPEM. Program ini merupakan salah satu inisiatif KKBS yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022 dan dihasratkan untuk meningkatkan impak serta objektif Tabung Anak-anak Yatim, di mana sumbangan derma daripada orang ramai juga akan disalurkan membiayai pembelajaran Program Biasiswa Anak Yatim melalui Program BIBD ALAF, sehingga tamat peperiksaan GCE peringkat O.

    Turut hadir ke majlis itu ialah Pengarah JAPEM selaku pengerusi majlis, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh; Pemangku Pengarah Jabatan RTB, Cheong Chee Keong, selaku pengerusi-pengerusi bersama majlis; pegawai-pegawai kanan dari KKBS serta wakil daripada sektor kerajaan dan swasta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda