Kempen sumbang data bantu pelajar yang memerlukan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Kerjasama Progresif Sdn Bhd dan Kementerian Pendidikan selama setahun menerusi inisiatif Progresif for Schools hampir sampai ke penghujungnya, namun begitu, sebagai komitmen berterusannya untuk mewujudkan lagi kemudahan kepada golongan pelajar yang memerlukan di negara ini, Progresif telah melancarkan Kempen Donate Data pada Februari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Progresif, kempen itu dilaksanakan untuk menyediakan sambungan Internet bagi para pelajar yang memerlukan di 10 buah sekolah yang terpilih.

Dengan situasi penularan pandemik COVID-19 yang kembali melanda negara ini yang memerlukan masyarakat untuk duduk di rumah, Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti seramai 350 orang pelajar yang memerlukan bantuan kemudahan sambungan Internet semasa menjalankan pembelajaran dalam talian di rumah masing-masing.

Sejak dilancarkan, kempen berkenaan telah berjaya mengumpulkan sebanyak $10,223.16, jumlah yang mencukupi untuk menampung kad SIM bagi para pelajar yang telah dikenal pasti tersebut.

Progresif dalam kenyataan itu mengalu-alukan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan untuk membantu pelajar-pelajar yang memerlukan terus mengikuti pengajian mereka dari rumah.

Kenyataan menyatakan, setiap $30 yang disumbangkan dapat menyediakan 10GB data untuk seorang pelajar.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi SMS atau BIBD Online yang tersedia di kedai dalam talian yang baru dilancarkan dan kini dikembangkan kepada pelanggan Bank Baiduri menerusi pemindahan wang.

Progresif Sdn Bhd mengalu-alukan orang ramai membantu golongan pelajar yang memerlukan di negara ini menerusi kempen Donate Data khusus dalam menyediakan sambungan Internet. – Gambar serahan Progresif