Kempen sumbangan peranti hingga 30 Sept

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Sebagai usaha membantu pelajar-pelajar yang memerlukan, Kementerian Kesihatan dengan sokongan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah melancarkan Kempen Sumbangan Peranti sebagai sebahagian daripada pendekatan seluruh negara.

Berjalan sehingga 30 September ini, kempen berkenaan bermatlamat untuk mengumpulkan sumbangan berupa peranti-peranti IT seperti tablet dan komputer riba dalam menyokong pembelajaran dalam talian para pelajar yang memerlukan.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, hari ini, sumbangan-sumbangan peranti boleh dihantar terus ke Jabatan Pendidikan Kokurikulum, RPN Lambak Kanan di Daerah Brunei dan Muara serta Pusat Tingkatan Enam Tutong, Kampung Bukit Beruang di Daerah Tutong pada setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8:30 pagi hingga 11:30 pagi.