Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Sempena memperingati Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, Boustead Sdn Bhd (Suzuki Brunei) telah mengadakan kempen National Wonders yang berlangsung antara 6 Februari hingga 28 Februari lalu.
Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kemurahan Hati Kebangsaan, dan Reka Bentuk Terbaik Kebangsaan di mana daripada 15 pereka yang mengambil bahagian semasa pertandingan Reka Bentuk Terbaik Kebangsaan, tiga finalis telah dipilih.
Dalam pertandingan itu, Awang Abdul Ajihis bin Haji Terawih diumumkan sebagai pemenang pertama sekali gus menerima $1,000, sementara itu tampil di tempat kedua ialah Awang Mohammad Faiz bin Haji Morshidi dan tempat ketiga menjadi milik Awang Mohammad Ariff bin Haji Suhaimi, masing-masing membawa pulang hadiah $500 dan $300.
Majlis penyampaian hadiah berlangsung di bilik pameran Suzuki, Gadong, baru-baru ini, yang turut diselajurkan dengan penyerahan dana kepada Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) Brunei yang merupakan inisiatif oleh pihak pengurusan Suzuki Brunei dan kakitangan dari Jabatan Jualan dan Selepas Jualan, pengurusan dan kakitangan LUB Enterprise, serta pelanggan baharu dan sedia ada yang membawa kepada usaha dan komitmen luar biasa dalam mengumpul dana untuk kanak-kanak YASKA.
Melalui inisiatif Kedermawanan Kebangsaan Suzuki, mereka menderma $39 daripada setiap kenderaan yang dijual, yang dibeli antara 6 hingga 28 Februari lalu kepada YASKA.
Sebanyak 115 unit Suzuki berjaya dijual tanpa sebarang kos tambahan sekali gus mengumpul sejumlah $4,485.
Tambahan lagi, Selepas Jualan Suzuki dengan kerjasama LUB Enterprise turut menyumbang $3.90 daripada pelanggan yang telah menservis kereta mereka antara 10 Februari hingga 15 Mac manakala itu, pengurusan dan kakitangan Suzuki berjaya mengumpul $315. LUB Enterprise juga bermurah hati mendermakan $1,000 bagi tujuan yang sama.
Secara keseluruhan, Suzuki Brunei berjaya mengumpul $5,800 untuk YASKA.
Matlamat utama mereka untuk kempen berkenaan, yang merupakan komponen tanggungjawab sosial korporat mereka, adalah bagi menjana dana untuk pemulihan kanak-kanak dan menggalakkan kesedaran bagi kanak-kanak Brunei yang menghidap kanser.





