Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen vaksin kanser serviks berjaya selamatkan 1.4 juta nyawa

    GENEVA, 17 NOV – Kempen selama tiga tahun untuk membawa vaksin terhadap human papillomavirus (HPV) ke negara berpendapatan rendah telah berjaya mencegah sebanyak 1.4 juta kematian akibat kanser serviks, kata pakatan vaksin Gavi, hari ini.

    “Dianggarkan seramai 86 juta kanak-kanak perempuan kini dilindungi daripada punca utama kanser serviks, hasil usaha bersepadu selama tiga tahun oleh Gavi, Vaccine Alliance dan negara-negara berpendapatan rendah,” kata organisasi itu.

    Ia menambah dalam satu kenyataan sempena Hari Penghapusan Kanser Serviks Sedunia bahawa “dianggarkan 1.4 juta kematian pada masa hadapan” telah dapat dicegah.

    Kanser yang disebabkan oleh HPV memberi kesan secara tidak seimbang kepada negara berpendapatan rendah, yang sering kekurangan perkhidmatan saringan dan akses kepada rawatan.

    Menurut Gavi, negara-negara tersebut menyumbang sebanyak 90 peratus daripada 350,000 kematian akibat kanser serviks yang direkodkan pada 2022.

    Ketua eksekutif Gavi, Sania Nishtar, memuji “komitmen luar biasa” oleh negara dan organisasi yang membantu mencapai sasaran melindungi 86 juta kanak-kanak perempuan.

    Gavi berkata kadar, liputan vaksin di seluruh Afrika meningkat daripada empat peratus pada 2014 kepada 44 peratus pada akhir 2024, lebih tinggi berbanding Eropah yang berada pada 38 peratus.

    Pakatan itu berkata ia menggunakan skala ekonomi untuk menurunkan harga dan membolehkan vaksin disediakan kepada kira-kira 50 negara miskin.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara rasmi menyokong jadual vaksinasi HPV satu dos menggantikan jadual dua dos sebelum ini pada 2022, membolehkan dua kali ganda jumlah kanak-kanak perempuan divaksin dengan stok sedia ada. – AFP

    Gambar ini menunjukkan logo Gavi, pakatan vaksin, di ibu pejabat mereka di Geneva pada 11 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda