Gambar serahan Institut KEMUDA
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Institut KEMUDA mengalu-alukan kemasukan pelajar baharu bagi pengambilan Oktober 2020 menerusi sesi orientasi yang diadakan selama dua hari, di dua buah kampus institut berkenaan yang terletak di Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait.
Sesi orientasi berkenaan bertujuan untuk memberikan pengenalan kepada pelajar baharu mengenai prosedur dan kemudahan yang ada di institut berkenaan serta untuk memberikan mereka peluang bertemu dengan pihak pentadbiran kampus, kakitangan dan pelajar-pelajar lain.
Pada hari pertama, program dimulakan dengan kehadiran dan pendaftaran pelajar baharu serta penerangan ringkas mengenai jika berlaku sebarang kecemasan.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh ahli Majlis Pelajar Institut KEMUDA, Awang Muhammad Nurghoni Al Majid seterusnya nyanyian lagu kebangsaan.
Semasa majlis tersebut, Pentadbir Akademik, Alice Sim dalam kata-kata aluannya menyampaikan mengenai persediaan pelajar untuk perjalanan seterusnya dalam pembelajaran mereka dan diikuti dengan pengenalan Institut KEMUDA dan matlamatnya.
Selain itu, penerangan ringkas mengenai peraturan institut berkenaan turut disampaikan bagi memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Seterusnya, sesi pengenalan kepada jawatankuasa majlis pelajar telah disampaikan oleh Presiden Institut KEMUDA, Prosper Pui Kuan Huai.
Semasa sesi suai kenal, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan yang bertujuan untuk membuatkan pelajar merasa selesa dengan suasana pembelajaran kolej.
Mereka turut diberi penerangan mengenai kursus-kursus yang ditawarkan dan dibawa melawat ke seluruh kampus. Sesi orientasi diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar dan doa penutup serta sesi bergambar ramai.