Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Setakat ini, kemudahan dua buah bot ambulans dan dua buah temuai yang tersedia bagi keperluan panggilan kecemasan di Kampong Ayer masih pada tahap yang mencukupi.
Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan berkaitan mengenai bot ambulans ini terutamanya dari segi mencari pemandu bot dan pencaruk.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara berkenaan bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin berhubung adakah jumlah bot ambulans nega-ra mencukupi untuk menangani sebarang permintaan perubatan kecemasan dan jika terjadinya kecemasan atas sungai dan perairan negara, semasa berlangsungnya hari ke-16 Persidangan MMN di Dewan Majlis, hari ini.
Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan begitu memerlukan pemandu bot ambulans dan pencaruk yang begitu kenal dengan kawasan Kampong Ayer bagi memudahkan pencarian alamat rumah di kawasan berkenaan.
Maka dalam hal ini, Yang Berhormat Dato turut berkesempatan mengalu-alukan warga penduduk dari Kampong Ayer yang memiliki kemahiran berkenaan untuk mengisi sebarang iklan pekerjaan itu jika dibukakan sebagai persiapan untuk mengganti para petugas pemandu bot dan pencaruk yang sedia ada sebelum mereka berpencen.
Terdahulu, Yang Berhormat Dato mengongsikan berdasarkan statistik pada tahun lepas, sebanyak 154 panggilan kecemasan telah dicatat di Kampong Ayer manakala setakat pada tahun ini, sebanyak 40 panggilan kecemasan telah dicatat.



