SINGAPURA, 16 OKT – Kemudahan fizikal Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Rantau ASEAN (CERT) dilancarkan hari ini, yang akan mempertingkatkan perkongsian maklumat dalam kalangan negara anggota ASEAN mengenai ancaman siber serta penipuan dalam talian.
Majlis pelancaran dirasmikan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, bersama para menteri dan pegawai kanan ASEAN, termasuk Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo; serta Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat Singapura, Josephine Teo, semasa Persidangan Menteri-menteri ASEAN Mengenai Keselamatan Siber (AMCC) ke-9.
Kemudahan CERT Rantau ASEAN ini akan ditempatkan di Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura (ASCCE) di Singapura.
Teo yang juga menteri bertanggungjawab bagi Smart Nation dan Keselamatan Siber, berkata kemudahan itu akan berfungsi sebagai ruang khusus untuk aktiviti bersemuka, seperti latihan siber, bengkel dan program pembinaan kapasiti siber CERT-CERT, untuk memupuk kerjasama yang padu dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Dengan pembiayaan AS$10 juta yang dijanjikan selama 10 tahun, CERT Rantau ASEAN mewakili langkah konkrit dalam usaha ASEAN ke arah pembinaan kapasiti serantau dan perkongsian amalan terbaik.
“CERT Rantau ASEAN juga akan menyokong usaha kita dalam membangunkan perkongsian dengan industri dan akademik, memudahkan menjalankan latihan siber dan meningkatkan pertukaran maklumat tepat pada masanya,” katanya dalam ucapannya di AMCC.
Teo berkata aktiviti CERT Rantau ASEAN akan ditadbir oleh pasukan petugas yang diketuai oleh negara anggota ASEAN sebagai penyelaras keseluruhan, yang akan digilirkan setiap dua tahun. – Bernama