Pada Ahad lepas, saya dan keluarga mengambil keputusan untuk keluar berjalan kaki menikmati suasana petang di sekitar kawasan tempat tinggal kami.
Sebagai individu yang cuba mengamalkan gaya hidup sihat, saya gemar berjalan kaki ke kedai berdekatan atau menggunakan basikal.
Namun sayangnya, tidak semua kawasan memiliki kawasan pengguna jalan kaki dan bahkan ada tempat yang langsung tiada laluan pejalan kaki atau laluan yang disediakan terlalu sempit, tidak rata, bahkan dihadang oleh tiang elektrik dan longkang terbuka.
Bagi penunggang basikal pula, ketiadaan lorong khas atau tempat letak basikal yang selamat menyebabkan ramai memilih untuk terus bergantung kepada kereta, walaupun perjalanan mereka cuma sejauh beberapa kilometer.
Ini bukan sahaja membantutkan usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran, malah bercanggah dengan aspirasi Brunei untuk menggalakkan pembangunan mampan dan sihat.
Saya mencadangkan agar perancangan infrastruktur pada masa hadapan mengambil kira keperluan komuniti, dengan laluan yang selamat dan sempurna sehingga ramai yang akan terdorong untuk berjalan kaki atau berbasikal, bukan sahaja demi kesihatan diri, tetapi juga untuk menjimatkan kos dan menjaga alam sekitar.
Semoga pandangan ini dipertimbangkan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.
Pengguna jalan kecil
