Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Sempena Hari Tandas Sedunia yang disambut pada 19 November, Brunei Darussalam telah memberikan tumpuan kepada satu aspek kehidupan harian yang sering diabaikan tetapi amat penting iaitu tandas awam.
Jawatankuasa Kebersihan Tandas Kerajaan dan Swasta (JKTKS) telah giat berusaha meningkatkan kemudahan di seluruh negara, memastikan ia bukan sahaja memenuhi jangkaan tempatan tetapi juga piawaian serantau yang ditetapkan oleh Standard Tandas Awam ASEAN (APTS).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh JKTKS hari ini mengongsikan bahawa sepanjang dua tahun kebelakangan ini, JKTKS telah memantau dan memberi penarafan serta menyokong pemilik kemudahan dalam usaha mereka meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan.
Pusat membeli-belah, restoran dan lokasi tumpuan ramai telah mencatat kemajuan ketara, di mana sesetengah premis menjalankan pengubahsuaian besar-besaran bagi menaik taraf kemudahan.Ia termasuk restoran, di mana beberapa buah restoran berjaya meningkat daripada Gred C ke Gred B dalam tempoh hanya setahun.
Manakala pusat membeli-belah, di mana sebuah pusat membeli-belah telah mencatat peningkatan dramatik daripada Gred D ke Gred B setelah menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian dan penyelenggaraan yang konsisten.

Banyak premis mengekalkan atau meningkatkan gred masing-masing sementara menyediakan kemudahan tandas yang lebih bersih, cerah dan mesra pengguna kepada pengunjung.
Peningkatan ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat bahawa kemudahan tandas yang baik bukan sahaja soal kebersihan, tetapi juga soal hospitaliti, yang menjadi satu faktor penting bagi masyarakat tempatan mahupun pelawat antarabangsa.
Ke arah kebersihan, pihak berkuasa boleh menyediakan infrastruktur, tetapi kebersihan yang berkekalan bergantung kepada semua orang. Untuk diiktiraf sebagai destinasi bertaraf dunia, kita harus bermula daripada perkara asas: menjaga kemudahan yang kita kongsi bersama, dan setiap kali meninggalkan ruang awam, kita harus bertanya kepada diri sendiri, adakah kita meninggalkannya sebersih seperti yang kita harapkan untuk orang seterusnya?
Setiap tindakan kecil yang bertanggungjawab membawa kesan besar, membentuk bukan sahaja persekitaran tetapi juga imej Brunei sebagai sebuah negara yang mesra dan bertaraf dunia. Bersama kita semua boleh wujudkan gerakan ‘Tandas Awam, Tanggungjawab Bersama’, satu usaha yang memaparkan nilai Brunei dalam aspek kebersihan, rasa hormat dan kepedulian komuniti.
Mari kita mulakan dengan langkah kecil, bertindak dengan penuh tanggungjawab dan sebarkan mesej ‘Tandas bersih bermula dengan saya.’

