“Demi Allah, saya tidak pernah menjejakkan kaki ke mahkamah syariah. Mahkamah syariah pun tak tahu di mana,” ujar pelakon Uqasha Senrose ketika diasak media berhubung dakwaan memfailkan perceraian terhadap suaminya, Kamal Adli.
Pelakon filem Sumpahan Jerunai itu meminta mereka yang membuat tuduhan agar mengemukakan bukti jika benar dakwaannya dan Kamal mahu bercerai.
Uqasha, 32, berkata, tuduhan itu juga tidak berasas kerana rumah tangganya dengan Kamal masih dalam keadaan baik.
“Saya nafikan 100 peratus dakwaan ini. Sumber kru produksi tak betul kerana saya sudah lama tak berlakon sejak melahirkan anak, Hawra Uqaira. Saya baru sahaja masuk set penggambaran.
“Kalau betul kami sudah ke mahkamah syariah, nama kami pasti ada dalam rekod dan wartawan mahkamah pasti mengetahuinya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P18-B-mStar_15022025.jpg)
“Jadi, saya minta orang yang buat tuduhan kemukakan bukti kalau betul,” katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana di ibu negara, baru-baru ini.
Uqasha berkata, dia sibuk menguruskan anak yang kini berusia 10 bulan.
“Saya dan Kamal ada bercakap soal ini. Kami pelik bila masa kami pergi mahkamah syariah hingga timbul gosip nak bercerai.
“Kamal sibuk shooting selama enam bulan dan saya pula uruskan Hawra Uqaira sendirian selama ketiadaan suami.
“Manalah saya ada masa nak ke mahkamah syariah kerana saya tidak ada pembantu. Jadi, dakwaan cerai ini tak berasas,” katanya.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, 10 bulan. – Agensi