Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kejohanan Badminton Junior akhirnya sampai ke kemuncaknya dengan menyaksikan empat perlawanan akhir telah dipertandingkan hari ini.
Dalam acara beregu lelaki bawah 17 tahun, gandingan Matthew Lingie dan Azhar Abqari dinobatkan sebagai juara selepas berjaya menewaskan pasangan beregu Mohd Faiz dan Mohd Najwan dengan mata 21-13, 21-15.
Sementara itu, kategori perempuan pula dijuarai oleh pasangan beregu Sharon Chai dan Catherine Huang selepas mengalahkan gandingan Chew Jee Shin dan Iszhci Reciproco dengan 21-10, 21-10.
Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun, Mukim Lumapas ini juga mempertandingkan kategori bawah 15 tahun lelaki yang menyaksikan beregu Mohd Nur Aqil dan Mohd Rahman berjaya menundukkan pasangan Mohd Hafizuddin dan Mohd Zulwaqar dengan mata 21-14, 21-15.
Dalam pada itu, Mohd Hakem Rahimee berjaya menumpaskan Abdul Sya’amil 21-9, 21-7 pada perseorangan lelaki bawah 12 tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Timbalan Pengetua merangkap Pegawai Kanan di Sekolah Sukan Brunei Darussalam, Mohd Nuilham bin Haji Jais.
Kejohanan ini merupakan kesinambungan kepada skim badminton dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan serta Jabatan pendidikan Kokurikulum dan dilangsungkan sejak 10 hari lalu.