Kemunculan pelakon Fattah Amin di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) kelmarin mendapat pelbagai reaksi di media sosial.
Menerusi video tular di TikTok, rata-rata warganet memuji ketampanan pelakon berkenaan yang menggayakan sut juruterbang helikopter, menurut laporan mStar.
Malah ada peminat mengimbau kembali watak pernah dilakonkan oleh Fattah menerusi drama Suri Hati Mr Pilot, iaitu watak Ejaz Fakhri sebagai seorang juruterbang.
“Dia (Fattah) ni kalau jadi juruterbang pun memang kacak, sesuai sebab tinggi ada pakej lengkap.
“Ejaz Fakhri yang sebenar Suri Hati Mr Pilot.
“Top Gun Malaysia, sesuai jadi hero,” tulis warganet.
Dalam perkongsian video tersebut, Fattah dilihat dibantu oleh beberapa petugas yang mempersiapkan dirinya dengan memakai kelengkapan peralatan sut termasuk ves keselamatan dan topi keledar.
Pelakon drama Bidaah ini turut menggayakan kaca mata hitam sekali gus menyerlahkan lagi ketampanannya itu.
LIMA’25 sedang berlangsung pada 20 hingga 24 Mei 2025 di Pulau Langkawi, Kedah, Malaysia. – Agensi
